KANGAR: Bidang pendidikan tidak boleh sekadar menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya perlu kembali ke matlamat asal bagi mendidik manusia menjadi insan beradab, empatik dan bertanggungjawab terhadap diri serta masyarakat.
Pensyarah Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU), Zaliha Idris berkata, dunia kini dikuasai teknologi dan realiti maya yang menyaksikan fenomena baharu di mana pelajar generasi digital bukan sahaja kian bijak secara teknikal namun turut rapuh dari segi emosi mahu pun nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, beberapa insiden mutakhir ini melibatkan pelajar mencetuskan kesedaran awam bahawa isu keselamatan dan nilai kemanusiaan melibatkan golongan ini perlu ditangani secara menyeluruh.
“Dalam semangat Malaysia Madani, nilai ihsan, amanah, hormat dan kasih perlu dihidupkan bukan sahaja di bilik darjah tetapi melibatkan seluruh ekosistem pendidikan termasuk di rumah dan komuniti.
“Guru dan pensyarah bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pembentuk jiwa yang menyemai empati dalam diri pelajar manakala ibu bapa pula perlu menjadi teladan dalam mendidik dengan kasih dan bukan dengan ketakutan.
“Pada masa sama, masyarakat dan kerajaan pula mesti memastikan setiap pelajar membesar dalam persekitaran yang selamat dari segi fizikal, emosi dan sosial agar dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja bijak tetapi juga berjiwa manusiawi,” katanya di sini hari ini.
Zaliha berkata, perubahan dunia digital kini bukan sekadar melibatkan soal teknologi tetapi turut mengubah cara generasi muda membina empati dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, budaya permainan maya dan media sosial yang sering menormalisasikan unsur keganasan juga boleh menjadikan pelajar keliru antara hiburan atau realiti.
“Justeru, literasi digital dan pendidikan emosi mesti digerakkan secara menyeluruh bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di rumah dan komuniti agar teknologi dapat digunakan untuk memperkasa nilai kemanusiaan, bukan melemahkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, setiap ahli keluarga juga seharusnya peka terhadap kesejahteraan emosi dan keselamatan anak-anak serta berani menegur atau melaporkan sebarang bentuk penderaan.-UTUSAN