DALAM era dikuasai dengan kemajuan teknologi yang pesat dan landskap industri yang dinamik, jurang antara akademia dan industri muncul sebagai halangan utama untuk menyediakan tenaga kerja yang dapat memenuhi tuntutan dunia kerjaya terutamanya dalam sektor industri yang melibatkan teknologi dan kejuruteraan yang bersifat dinamik dan cepat berkembang.
Jurang ini akan menjadi kesan yang signifikan apabila pertumbuhan ekonomi dalam sektor industri sedikit sebanyak beriringan dengan tahap kesiapsagaan kerja dalam kalangan graduan yang akan mula berkhidmat dalam sektor industri selepas tamat pengajian di institut pengajian tinggi (IPT).
Menyedari perkara ini, menjadi sesuatu yang penting bagi pemain industri dan akademia khususnya IPT untuk membina hubungan saling bergantung agar wujud kerjasama untuk menangani cabaran awal graduan semasa fasa peralihan daripada dunia akademik kepada dunia pekerjaan agar jalan bagi peralihan fasa ini berlalu dengan lancar.
Alam dunia akademia dan industri masing-masing beroperasi di atas landasan yang berbeza dengan tujuan dan ideologi yang mungkin berbeza. Graduan yang terhasil melalui dunia akdemik perlu cepat dan berkeupayaan untuk beradaptasi secara tangkas apabila memasuki alam pekerjaan terutamanya dalam sektor industri yang melibatkan teknologi dan kejuruteraan yang dilihat sentiasa berevolusi secara signifikan.
Jika graduan lambat untuk beradaptasi dengan suasana, tempo dan cara bekerja dalam industri ia akan merencatkan sedikit sebanyak produktiviti industri. Jurang dalam fasa ini sangat perlu untuk dirapatkan antara akademia terutamanya IPT dan industri agar penyesuaian reka bentuk kurikulum dalam program-program yang dijalankan di IPT sentiasa dapat memenuhi keperluan dinamik tenaga kerja di industri.
Salah satu langkah penting dalam merapatkan jurang ini adalah penjajaran dan penyesuaian kurikulum akademik secara menyeluruh untuk memastikan kerelevanan dengan keperluan industri.
Mengambil kira perubahan eksponen yang sentiasa berlaku terutamanya dalam penggunaan teknologi dan kejuruteraan dalam pelbagai sektor industri, rangka atau reka bentuk kurikulum program-program di IPT mesti mengambil pendekatan yang berkesan agar sentiasa dapat disesuaikan dengan keperluan industri.
Penyemakan berkala serta pandangan daripada pengamal industri adalah penting. Walaupun asas teori penting, terdapat keperluan untuk menyokong metodologi pembelajaran dan penilaian dengan pendekatan yang lebih berobjektif dan selari dengan praktikal di industri.
Pemain dan profesional daripada industri dilihat perlu untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan kurikulum dalam program-program di IPT. Program-program di IPT yang mempunyai Panel Penasihat Industri terutamanya program-program teknologi dan kejuruteraan harus memperkasakan platform yang sedia ada tersebut untuk membentuk kerangka kurikulum yang lebih terarah dan relevan dengan kehendak industri semasa.
Melalui platform tersebut juga, profesional daripada industri dan ahli akademik dapat mengenal pasti keperluan industri yang khusus dan memberikan pandangan berharga tentang kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh graduan dalam bidang masing-masing. Kerjasama ini dilihat dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Graduan yang dapat menamatkan pengajian akan mendapati peralihan mereka kepada peranan terhadap industri lebih lancar. Majikan mendapat pekerja yang terlatih dan kesiapsiagaan bekerja yang baik.
Jurang ini juga dilihat dapat diatasi melalui IPT dengan menyediakan pendedahan yang sesuai dan teratur kepada bakal graduan terhadap suasana industri. Latihan industri, projek langsung daripada industri, pembelajaran berasaskan kerja di industri dan lain-lain dapat berfungsi sebagai saluran bagi bakal graduan untuk mendapatkan sedikit gambaran dan pemahaman praktikal terhadap operasi industri dan realiti tempat kerja pada masa kini.
Walaupun tiada jaminan pekerjaan tetap selepas latihan, pengalaman ini akan membekalkan bakal graduan dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang suasana dan cara kerja di industri yang bersifat dinamik. Peluang ini tidak hanya meningkatkan keyakinan para bakal graduan, tetapi juga memupuk kebolehsesuaian dan kesiapsiagaan, menjadikan peralihan mereka ke dalam alam pekerjaan di industri lebih lancar.
Tanggungjawab untuk mengatasi jurang antara industri dan akademia tidak hanya terletak pada industri semata-mata. Peranan sektor di IPT pula harus memastikan bahawa tenaga pengajar dan ahli akademik dilengkapi dengan pendedahan dan latihan yang betul.
Tidak dinafikan ada sebahagian ahli akademik tidak memiliki pengalaman industri yang diperlukan, yang menghalang kemampuan mereka untuk menyampaikan pengetahuan praktikal secara berkesan. Inisiatif kolaboratif, seperti projek industri jangka pendek atau memperkasakan program untuk menyokong latihan industri dalam kalangan akademik yang dijalankan bersama pakar industri, dapat mengatasi jurang pengetahuan ini.
Ahli akademik yang pernah mengalami pengalaman bekerja di industri sebelum menjadi ahli akademik di IPT juga perlu sentiasa terdedah dengan pengalaman industri semasa kerana pengalaman di indusri sentiasa berevolusi dari semasa ke semasa terutamanya industri yang melibatkan teknologi dan kejuruteraan. Pendedahan terhadap pengalamann industri semasa ini akan dapat banyak membantu proses penyampaian pengetahuan praktikal secara berkesan dapat berlaku kepada bakal graduan. Dengan keterlibatan tersebut, ahli akademik mendapat pengalaman langsung tentang trend industri semasa.
Jurang yang lebar antara industri dan akademia memerlukan perhatian agar tidak terus melebar. Dengan ekonomi yang semakin berkembang dari sektor perindustrian dan sektor pendidikan juga turut berkembang, dilihat kedua-dua sektor ini berada pada titik persimpangan yang penting. Mewujudkan dan membina hubungan saling bergantung antara industri dan akademia adalah sangat perlu dan penting.
Usaha secara kolektif yang membawa bersama akademia, pakar industri, dan pembuat dasar untuk mencipta hubungan harmoni antara akademia dan industri dilihat sangat perlu dan penting. Hanya melalui usaha bersama seperti ini kita harap dapat mengatasi jurang dan membuka jalan bagi tenaga kerja yang terdiri daripada bakal graduan yang bersedia untuk menyumbang secara efektif kepada pertumbuhan dan kemakmuran berterusan negara. – UTUSAN
DR. Nik Mohd Khairuddin Nik Ismail ialah Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi.










