PARLIMEN: Sunway Pier Harbour suntik lebih RM5 bilion kepada KDNK 

PARLIMEN: Sunway Pier Harbour suntik lebih RM5 bilion kepada KDNK 

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang dijangka memberi limpahan ekonomi besar apabila menyumbang lebih RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun selepas siap sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek bernilai RM255 juta itu turut dijangka menarik lebih 30 juta pelancong dan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu, sekali gus merancakkan ekonomi setempat di kawasan Pelabuhan Klang.

“Pembangunan ini akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk antarabangsa bagi sektor pelancongan serta mempertingkat imej kawasan pesisir melalui pembangunan mampan berasaskan kepentingan awam,” katanya menjawab soalan Dr. Halimah binti Ali (PN–Kapar) pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony Loke berkata, projek tersebut dibangunkan di tapak terminal feri lama di Kompleks Datuk Shaari Jihin, yang sebelum ini menyediakan perkhidmatan feri ke Sumatera, Indonesia. Terminal itu sering berdepan masalah kesesakan dan kekurangan kemudahan asas.

Menurutnya, projek Sunway Pier Harbour kini dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua 2028, dengan kemudahan moden serta keterhubungan terus ke Stesen Keretapi Pelabuhan Klang melalui cadangan penaiktarafan stesen.

Selain pembangunan ruang komersial, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan kawasan tepi laut (waterfront) yang akan dibuka kepada orang awam sebagai ruang rekreasi dan riadah.

Katanya, projek itu telah memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kerajaan mengambil maklum potensi besar projek ini dalam menjana pertumbuhan ekonomi tempatan dan manfaat langsung kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal terhasil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN