PARLIMEN: MCMC adakan pertemuan, elak ketirisan maklumat

PARLIMEN: MCMC adakan pertemuan, elak ketirisan maklumat

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama beberapa agensi kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Meta Platforms Inc (Meta), Google dan X di Singapura minggu depan bagi membincangkan mekanisme terbaik pelaksanaan electronic Know Your Customer (eKYC) untuk pengguna platform media sosial.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perbincangan itu bertujuan memastikan proses eKYC, yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID, dilaksanakan tanpa risiko ketirisan maklumat dan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Menurutnya, mekanisme yang dibincangkan juga akan memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak di alam maya, khususnya daripada ancaman seperti pedofilia dan eksploitasi digital.

“Kerajaan mahu memastikan keselamatan pengguna bawah umur di platform media sosial sentiasa terjamin.

“Proses eKYC ini akan membolehkan identiti pengguna disahkan dan akses dikawal mengikut umur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH–Bangi) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, perbincangan dengan pengendali platform digital bertujuan mencari kaedah terbaik bagi melindungi privasi, keselamatan dan kepentingan pengguna, tanpa menjejaskan hak rakyat untuk menggunakan media sosial secara bertanggungjawab.

Fahmi berkata, MCMC dan agensi kerajaan akan bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi antarabangsa itu untuk memperkukuh prosedur keselamatan digital, termasuk menambah baik mekanisme pengesahan umur pengguna bagi mengehadkan akses kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah.

Katanya, inisiatif ini juga selaras dengan agenda Kerajaan MADANI untuk memastikan keselamatan siber, pematuhan undang-undang dan kesejahteraan digital rakyat Malaysia.

“Kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran digital yang selamat, kondusif dan bebas daripada ancaman, khususnya bagi golongan paling terdedah iaitu kanak-kanak,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN