KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua bulan ke atas seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dan menyimpan harta curi iaitu 39 buah buku milik perpustakaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan perpustakaan swasta dekat sini pada minggu lalu.
Tertuduh Mohd. Farahimee Mohd. Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mencuri 15 buah buku milik perpustakaan Maik di Pejabat Perpustakaan Maik yang digunakan sebagai tempat penyimpanan harta benda kira-kira pukul 11.54 pagi pada 13 Oktober lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada empat orang anak itu dituduh dengan curang menyimpan harta curi iaitu 24 buah buku milik Perpustakaan Nur Al-Zahra dengan mengetahui harta tersebut adalah harta curi. Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong Meranti, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 5 petang pada 14 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.
Terdahulu, Nik Nasrun Nazmi memohon tertuduh diberikan bon kelakuan baik atas faktor kesihatan yang dialami Mohd. Farahimee, namun dibantah oleh Muhammad Shamsul Ikhmal.
Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menegur tindakan tertuduh bahawa buku-buku tersebut merupakan harta benda awam dan tidak sepatutnya dicuri.
“Awak bukan sahaja menyusahkan orang. Apabila harta wakaf dan harta awam dicuri, manfaat ke atas orang ramai yang diniatkan oleh individu tertentu tidak dapat disampaikan,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi kedua-dua pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Oktober lalu.
Utusan Malaysia 15 Oktober lalu melaporkan, tindakan licik seorang lelaki mencuri buku dari perpustakaan awam dan menjualnya semula secara dalam talian memakan diri apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di rumahnya di sini.
Suspek dicekup hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 12.05 tengah hari.-UTUSAN.










