Najib tidak pernah arah masukkan RM2.08b ke dalam akaun peribadi

Najib tidak pernah arah masukkan RM2.08b ke dalam akaun peribadi

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak menghujahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak pernah memberikan sebarang arahan bagi membolehkan wang berjumlah RM2,081,476,926 dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Menurut peguam, Tania Scivetti, keterangan saksi pendakwaan yang juga bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping jelas menunjukkan bahawa Najib tidak pernah memberi arahan atau meluluskan penukaran AS$681 juta sebelum wang berkenaan dimasukkan ke alam akaun Najib berakhir 9694.

“Ging Ping dalam keterangannya menyatakan beliau tidak pernah berhubung secara langsung dengan Najib mengenai penukaran dana berjumlah AS$681 juta tersebut. Sebaliknya, beliau bertindak atas arahan daripada Jho Low yang tiada kuasa ke atas akaun tersebut dan pemegang mandat akaun tersebut, Nik Faisal Ariff Kamil.

“Datuk Seri Najib sendiri ketika memberi keterangan menyatakan bahawa beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada Nik Faisal atau Jho Low untuk mengeluarkan apa-apa arahan berhubung penukaran mata wang asing.

“Pihak bank juga gagal mendapatkan sebarang pengesahan berhubung tindakan tersebut dan kegagalan tersebut mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib tidak memainkan sebarang peranan.

“Secara keseluruhan, bukti menunjukkan bahawa Najib tidak pernah mengarahkan, meluluskan, atau membenarkan penukaran dua pindahan masing-masing berjumlah AS$620 juta dan AS$61 juta kepada Ringgit Malaysia yang menyebabkan RM2,081,476,926.00 didepositkan ke dalam akaun 9694.,”kata peguam itu.

Selain itu, Tania menyatakan bekas Perdana Menteri itu ada mengucapkan `terima kasih’ kepada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud atas derma yang akan diterima kerana beliau `seorang pemimpin yang gentleman’.

Peguam terbabit menghujahkan demikian sebagai menjawab kepada `naratif’ pendakwaan yang menyatakan Najib tidak pernah mengucapkan terima kasih kepada Almarhum Raja Abdullah atas derma Arab yang diterimanya, jika benar ia diterima daripada individu tersebut.

“Untuk mencadangkan bahawa ketiadaan surat rasmi ucapan terima kasih boleh dijadikan petunjuk kepada niat jahat (mens rea) adalah satu pandangan yang boleh dianggap tidak munasabah.

“Datuk Seri Najib telah menjelaskan bahawa isu derma itu bersifat sensitif dan sulit dan sekiranya beliau menulis surat rasmi, ia perlu melalui Wisma Putra sekali gus menjejaskan kerahsiaan hubungan peribadi antara beliau dan Raja Abdullah.

“Sehubungan itu, pihak pembelaan dengan penuh hormat mengemukakan bahawa Datuk Seri Najib sememangnya telah mengucapkan terima kasih. Beliau berbuat demikian sebagaimana yang sewajarnya dilakukan oleh seorang ketua kerajaan ketika berurusan dengan seorang raja asing; secara peribadi, berhati-hati, dan dengan penuh adab, terus kepada penderma,” kata peguam itu.

Selain itu, pembelaan menghujahkan naratif bahawa Najib sengaja `membutakan matanya’ (willful blindness) terhadap sumber dana yang masuk ke dalam akaun peribadinya adalah satu salah tafsir.

“Willful blindness hanya terpakai kepada individu yang dengan sengaja menutup mata terhadap tanda-tanda amaran yang jelas. Ia tidak boleh digunakan terhadap tertuduh yang bertindak secara terbuka, berdasarkan jaminan yang konsisten, disertai dokumen sokongan dan pengawasan institusi yang wujud pada masa itu.

“Tindakan Datuk Seri Najib adalah bertentangan sepenuhnya dengan konsep willful blindness. Beliau membuka akaun 9694 secara telus atas namanya sendiri, menggunakan kad pengenalan dan pasport peribadi bagi menerima derma seperti yang dijanjikan oleh Raja Abdullah.

“Ketika membuka akaun tersebut, beliau memaklumkan kepada Pengarah Urusan AmBank pada masa itu, Cheah Tek Kuang (PW39) bahawa akaun berkenaan akan digunakan untuk menerima sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Penjelasan itu kemudiannya disokong oleh dokumen rasmi yang wujud pada masa yang sama termasuk surat-surat derma, rekod pemindahan SWIFT serta surat rasmi beliau kepada Bank Negara dan AmBank yang semuanya menunjukkan pemahaman beliau bahawa dana dalam Akaun 9694 berasal daripada sumbangan pihak diraja Arab Saudi,” hujah Tania.

Prosiding bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN