Naik taraf prasarana sekolah pacu transformasi pendidikan negara

Naik taraf prasarana sekolah pacu transformasi pendidikan negara

PENAMBAHBAIKAN prasarana di sekolah dilihat mampu memperkukuh ekosistem pendidikan sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambahbaikan prasarana di sekolah dilihat mampu memperkukuh ekosistem pendidikan sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, usaha menaik taraf kemudahan asas di sekolah merupakan antara komponen utama dalam memastikan kualiti pendidikan terus dipertingkat selaras dengan keperluan semasa.

Katanya, usaha itu juga berupaya mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selesa dan kondusif serta memberi impak positif terhadap kualiti kehidupan warga sekolah.

“Penambahbaikan prasarana seperti bilik guru, tandas dan kantin serta yang utamanya bilik darjah akan mewujudkan ekosistem sokongan pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa sekali gus memberi kesan langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran, motivasi guru serta murid di sekolah.

“Dengan adanya peningkatan dan penambahbaikan kepada prasarana fizikal, ia akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan selesa yang penting bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kualiti kehidupan di sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan sebanyak RM66.2 bilion antaranya bagi menaik taraf prasarana sekolah.

Ismi Arif berkata, transformasi pendidikan yang lebih menyeluruh dapat dicapai sekiranya penambahbaikan prasarana disusuli dengan peningkatan kualiti latihan dan kemahiran guru.

Katanya, langkah itu membolehkan murid dididik bukan sahaja dari segi akademik, malah turut mendapat sokongan psikososial yang seimbang hasil bimbingan guru yang lebih kompeten dan berkualiti.

“Inilah transformasi fizikal yang diperlukan dan apabila ia disusuli pula dengan penambahbaikan kualiti pengajaran melalui latihan guru maka murid akan dididik dan dibantu dari segi sokongan psikososial oleh para guru yang lebih kompeten dan berkualiti tinggi.

“Semua ini akan menghasilkan impak yang positif terhadap prestasi keseluruhan sekolah sama ada dari segi akademik mahupun kesejahteraan semua warga sekolah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, konsep sekolahku rumahku juga wajar diterapkan dalam kalangan warga sekolah bagi memupuk rasa tanggungjawab terhadap kemudahan yang disediakan kerajaan.

Katanya, latihan dalam perkhidmatan pula sangat diperlukan kerana dunia pendidikan sentiasa berkembang dan kaedah pengajaran serta pembelajaran turut berubah.

“Keselesaan guru dan murid merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian kerana ia adalah hak mereka sebagai penjawat awam yang profesional serta sebagai murid yang memerlukan persekitaran pembelajaran yang selesa.

“Jika sesebuah sekolah itu mempunyai kemudahan yang indah dan lengkap, ia bukan sahaja menarik minat murid untuk hadir ke sekolah, malah mampu meningkatkan motivasi mereka untuk belajar dengan lebih tekun. Konsep sekolah penyayang juga memastikan seseorang murid itu rasa dihargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN