KOTA BHARU: Penduduk di negara ini yang sering menjadi mangsa banjir disaran memuat turun MyIBJKM di platform google play atau apple store bagi membolehkan mereka menerima bantuan lebih cepat selain menggelakan daripada tercicir.
Pengarah Bahagian Mitigasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Ir. Ahmad Shahrir Md. Naziri berkata, kemudahan ini merupakan penambahbaikan yang dilakukan kerajaan dalam usaha mengurangkan masalah di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Aplikasi ini diberikan secara percuma tanpa sebarang bayaran dan penduduk hanya perlu memasukan butiran peribadi mereka sahaja.
“Jika mereka berlindung di PPS, bantuan akan terus dapat disampaikan tanpa perlu membuat pendaftaran dan isi borang lagi,” katanya kepada pemberita selepas Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Nor Yahati Awang di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shahrir memberitahu, sebanyak 1,912 kawasan yang menjadi ‘titik panas’ banjir telah dikenal pasti di seluruh negara.
Katanya. daripada jumlah itu Sabah merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 318 kawasan, diikuti Sarawak (236) dan Kedah (221).
“Untuk kawasan Pantai Timur pula, Pahang mempunyai 172 kawasan ‘titik panas’ banjir diikuti Kelantan (26) dan Terengganu (17).
“Untuk makluman semua, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 13 Oktober ini,” ujarnya.-UTUSAN