PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar telah menghantar surat tuntutan (LOD) terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menyebarkan kenyataan palsu berhubung isu penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Menurut surat tuntutan bertarikh 28 Oktober lalu yang dikeluarkan firma guaman, Akberdin & Co., pengguna Facebook atas nama ‘Hafiz Sahidi’ itu didakwa memuat naik beberapa hantaran berunsur fitnah terhadap Mohd. Na’im.
Surat tersebut turut menyatakan, hantaran tersebut memberi gambaran seolah-olah Mohd. Na’im tidak kompeten, gagal menjalankan tanggungjawab sebagai menteri serta bersikap acuh tak acuh terhadap isu moral dan salah laku jenayah di institusi pendidikan agama.
Katanya, kenyataan itu turut dianggap menggambarkan seolah-olah Mohd. Na’im menyokong penutupan institusi pondok, bertindak bertentangan dengan nilai Islam dan mengkhianati amanah rakyat serta kerajaan.
“Klien kami (Mohd. Na’im) memandang serius dakwaan palsu ini yang telah mencemarkan nama baik serta reputasi beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Agama,” menurut kenyataan firma guaman berkenaan.
Susulan itu, peguam menuntut agar pengguna Facebook terbabit segera memadam hantaran tersebut serta menghentikan sebarang penyiaran kenyataan fitnah terhadap Mohd. Na’im.
“Pihak kami turut menuntut permohonan maaf secara terbuka di semua platform media sosial selama 30 hari.
“Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh 48 jam, tindakan undang-undang akan diambil termasuk menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut serta kos guaman,” katanya.
Firma guaman itu menambah, Mohd. Na’im bersedia mempertimbangkan penyelesaian sekiranya pihak terbabit segera memohon maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan.
Pada 25 Oktober lalu, Mohd. Na’im menerusi hantaran di Facebook menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah, berita palsu dan provokasi politik bertujuan menjatuhkan maruah serta kredibilitinya dan kerajaan terutamanya yang menyentuh sensitiviti agama dan institusi pondok.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pada 24 Oktober 2025 berhubung hantaran fitnah yang disebarkan akaun Hafiz Sahidi dan siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dimohon.
“Saya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membantu siasatan dan mengenal pasti identiti sebenar penyebar fitnah ini. Tindakan tegas akan diambil,” katanya. – UTUSAN










