SEREMBAN: Susulan laporan Utusan Online mengenai sebahagian premis perniagaan MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Taman Perdana Senawang di sini dalam keadaan kotor dipenuhi najis burung, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan pokok di kawasan itu.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi kenyataan di Facebook berkata, kerja-kerja penyelenggaraan pokok berhampiran premis MyKiosk itu bagi mengelakkan isu najis burung berulang di kawasan tersebut.
“Berkaitan dengan isu mengenai MyKiosk terbiar dan dicemari najis burung di Taman Senawang Perdana dan membalas kepada kenyataan dipaparkan melalui Utusan Online, MBS mengambil tindakan menyelenggara pokok berhampiran MyKiosk tersebut bagi mengelakkan isu najis burung berulang.
“Kerja-kerja penyelengaraan pokok liar telah dijalankan bermula 17 September hingga 1 Oktober 2025. Usaha ini dilaksanakan secara berhati-hati bagi menyeimbangkan aspek ekologi dan keperluan kebersihan awam. Kerjasama orang awam dalam menjaga kebersihan kawasan amat dihargai,” kata kenyataan itu.
Pada 21 September lalu, Utusan Online melaporkan beberapa unit MyKiosk di Taman Senawang Perdana berada dalam keadaan terbiar serta dicemari najis burung hingga menimbulkan rungutan penduduk setempat.
Beberapa penduduk memaklumkan premis MyKiosk itu telah lama berada di kawasan tersebut namun tidak pernah digunakan sejak ia ditempatkan.
Penduduk juga meminta pihak berwajib membersihkan unit-unit premis perniagaan itu yang telah dicemari najis burung.-UTUSAN.










