KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan penghargaan kepada semua negara ASEAN dan rakan dialog antarabangsa atas sokongan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen penuh sepanjang Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua Ketua Negara dan Ketua Kerajaan negara anggota ASEAN dan rakan sejawat Menteri Luar.
“Tidak dilupakan rakan dialog seperti Australia, Kanada, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, selain Brazil dan Afrika Selatan yang hadir sebagai tetamu,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Agung ASEAN, wakil-wakil entiti ASEAN serta rakan-rakan antarabangsa daripada Finland, Majlis Eropah, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia atas penglibatan aktif mereka dalam menjayakan sidang berkenaan.
Beliau berkata, semangat kerjasama yang dizahirkan oleh semua pihak sepanjang sidang berlangsung menggambarkan kekuatan hubungan diplomatik yang telah lama terjalin antara ASEAN dan rakan globalnya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli komuniti diplomatik yang hadir di Kuala Lumpur walaupun mempunyai jadual yang padat.
“Ini menunjukkan nilai murni serta semangat kerjasama erat yang telah menyatukan rantau kita sejak 1967,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan jelas yang membimbing negara melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh kepengerusian.
Katanya, sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan Kabinet serta kementerian yang diterajui masing-masing juga amat penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan setiap agenda ASEAN di bawah pimpinan Malaysia.
“Tidak dilupakan, penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memastikan penyelarasan keselamatan berjalan dengan sangat efisien sepanjang semua acara berlangsung.
“Saya amat menghargai usaha serta dedikasi anggota keselamatan yang telah memastikan kelancaran persidangan ini,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang lima hari persidangan berlangsung di Kuala Lumpur, ASEAN telah mencapai pelbagai kemajuan bermakna termasuk memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rantau lain.
“Sidang kemuncak kali ini turut mencipta sejarah apabila ASEAN memperluas keanggotaannya dengan menyambut penyertaan Timor-Leste,” katanya.
Mohamad berkata, Malaysia akan terus menyokong penuh usaha memperkukuh Komuniti ASEAN serta memastikan hubungan erat antara negara anggota terus mekar ke arah masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
“Semoga kita terus melangkah ke hadapan sebagai satu Komuniti ASEAN yang bersatu, teguh dan semakin kuat,” katanya. – UTUSAN










