SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kini menggunakan Sistem e-Muallaf bagi penggunaan dan pengurusan maklumat saudara baharu bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di negeri ini.
MAIS dalam kenyataannya berkata, ia menjadikan agensi agama Islam negeri itu sebagai yang pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penggunaan Sistem e-Muallaf bersama JAKIM.
Menurutnya, sistem tersebut mengintegrasikan data pendaftaran mualaf Selangor ke dalam Sistem e-Muallaf JAKIM sebagai langkah membuka jalan ke arah penyelarasan data mualaf yang lebih sistematik dan diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Pemeteraian memorandum itu merupakan langkah awal yang signifikan ke arah memperkukuh tadbir urus Islam serta memperkemas pengurusan data mualaf di Selangor dan seluruh negara.
“MAIS berharap, kerjasama strategik bersama JAKIM menjadi landasan kukuh kepada penyatuan data mualaf di seluruh negara serta menjadi contoh terbaik pelaksanaan digitalisasi pengurusan yang cekap, telus dan mesra pengguna, katanya, hari ini.
Terdahulu Majlis Penandatanganan MoU Penggunaan Sistem e-Muallaf disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Ajib Ismail.
Jelas MAIS, pelaksanaannya akan dipantau bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama MAIS dan JAKIM yang akan menilai kemajuan pelaksanaan, keselamatan maklumat serta keperluan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Melalui sistem yang berkuatkuasa selama dua tahun sehingga 12 Oktober 2027 itu akan menjadi titik tolak kepada pembentukan ekosistem pengurusan mualaf yang moden, efisien dan berkesan,” ujarnya. – UTUSAN










