SHAH ALAM: Pelaksanaan kutipan zakat fitrah akan diperluaskan secara digital ke seluruh daerah di Selangor pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Khaidir Shahari berkata, inisiatif itu susulan pelaksanaannya di Kuala Selangor yang menunjukkan hasil memberangsangkan tahun ini.
“Kejayaan itu membuktikan kaedah kutipan digital bukan saja lebih efisien malah mengurangkan penggunaan kupon bercetak dan urus niaga tunai.
“LZS akan memperkembangkan lagi kutipan fitrah secara digital ke daerah lain tahun depan bagi menggalakkan pembayaran tanpa tunai,” katanya pada majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Selangor 2025 di sini, hari ini.
Pada program itu, seramai 176 penolong amil menerima anugerah meliputi lima kategori atas penghargaan dan sumbangan mereka.
Jelas Mohd. Khaidir, penggunaan sistem digital tidak bermaksud mahu mengehadkan peranan amil di negeri ini.
“Namun, ia membolehkan lebih ramai amil digerakkan untuk menjangkau pembayar zakat (muzakki) di kawasan lebih luas. Menerusi lenggunaan digital, jumlah amil dapat dikembangkan untuk pergi ke lebih banyak lokasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, LZS membangunkan sistem Portal Penolong Amil Kariah (PAK) sejak dua tahun lalu bagi membolehkan urusan siasatan dan permohonan asnaf di peringkat kariah dilakukan secara atas talian.
“Inisiatif itu memperkukuhkan peranan Penolong Amil Kariah sebagai penghubung utama antara LZS dan masyarakat setempat dalam menguruskan kebajikan asnaf.
“Portal itu memudahkan penolong amil membuat semakan dan mengesahkan permohonan asnaf di kariah masing-masing dengan lebih cepat, telus dan efisien,” tambahnya.
Sehingga kini, terdapat 4,839 penolong amil berdaftar di bawah LZS merangkumi penolong amil kariah, fitrah dan padi di seluruh Selangor. – UTUSAN










