GUA MUSANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki yang dipercayai pemilik kepada lombong emas haram di Sungai Kelaik, di sini semalam sekali gus menumpaskan kegiatan mencuri sumber mineral negeri ini.
Dalam serbuan pukul 4 pagi menerusi Op Bersepadu Khazanah itu, PGA turut menahan 11 individu yang terdiri daripada sembilan warganegara Indonesia bagi membantu siasatan.
Pemangku Komander Briged Tenggara Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, kesemua individu yang ditahan itu masing-masing berusia 21 hingga 43 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan lesen perlombongan emas yang sah.
“Pemeriksaan lanjut menunjukkan aktiviti itu dilakukan oleh dua lelaki tempatan, Orang Asli (1) dan lapan warganegara Indonesia termasuk seorang wanita.
“Semakan mendapati tiga warganegara Indonesia telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan manakala lima yang lain tiada dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ijid Landu memberitahu, PGA turut meramas semua peralatan termasuk jentera berat, mesin pam air dan beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk melombong.
Katanya, anggaran rampasan bernilai RM520,000 dan disiasat mengikut Akta Enakmen Mineral 2001 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan dan Ibu Pejabat Daerah Gua Musang untuk tindakan lanjut,” ujarnya-UTUSAN