BANGKOK: Seorang lelaki Thailand ditahan selepas didakwa meletakkan bom buatan sendiri pada motosikal jirannya, sehingga menyebabkan mangsa kehilangan tiga jari.
Letupan berlaku pada pagi Selasa lalu di sebuah pangsapuri di daerah Bang Kapi, apabila suspek didakwa berang dengan mangsa kerana parkir di tempat yang biasa digunakannya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa, Nihasun ‘Sun’ Lathe, 21, kehilangan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah.
Sun membuat laporan di Balai Polis Hua Mak dan memberitahu pihak berkuasa dia melihat objek mencurigakan diikat pada roda hadapan motosikalnya.
Semasa cubaan membuka ikatan itu, alat berkenaan meletup dan mencederakan jarinya.
Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari tempat letak kereta dan mendapati suspek berusi 32 tahun, dikenali sebagai Suthat Denyingyit, keluar dari biliknya antara pukul 4 hingga 5 pagi pada hari kejadian dan menghampiri motosikal mangsa.
Saksi memberitahu pegawai, Suthat sering marah dan kerap mengadu seseorang mengambil tempat parkirnya yang biasa dia gunakan.
Berdasarkan kenyataan saksi dan bukti rakaman CCTV, polis memanggil suspek untuk disoal siasat dan dia mengaku melakukan jenayah tersebut.
Dia memberitahu polis mempelajari cara membuat letupan itu melalui YouTube dan membeli bahan diperlukan secara dalam talian.
Suthat didakwa kerana menyebabkan kecederaan serius, dan polis merampas beberapa barangan digunakan suspek untuk membuat bahan letupan buatan sendiri di kediamannya.- AGENSI










