Lelaki curi buku di perpustakaan dicekup - Utusan Malaysia

Lelaki curi buku di perpustakaan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan licik seorang lelaki mencuri buku dari perpustakaan awam dan menjualnya semula secara dalam talian memakan diri apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di rumahnya di sini hari ini.

Suspek berusia lingkungan 50-an dicekup hasil rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 12.05 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, hasil serbuan yang dilakukan membawa kepada rampasan 15 buah buku dipercayai milik perpustakaan agensi negeri yang hilang sejak awal bulan ini.

“Suspek disyaki menyelinap masuk ke dalam perpustakaan, mengambil buku-buku tersebut dan menyembunyikannya di dalam pakaian sebelum meloloskan diri tanpa disedari.

“Kegiatan itu terbongkar selepas seorang pegawai perpustakaan membuat aduan pada Isnin lalu setelah melihat iklan penjualan buku di laman sosial Facebook yang menyerupai koleksi milik institusi tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, siasatan lanjut mendapati suspek turut mengaku terlibat dalam kes kecurian buku di sebuah perpustakaan swasta yang dilaporkan hilang pada 4 Oktober lalu.

Katanya, suspek direman selama lima hari sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN