KOTA BHARU: Polis menahan lapan individu selepas menculik dan mengurung tiga lelaki di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh dekat sini enam hari lalu
Kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di enam lokasi berasingan sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat pada pukul 11.30 malam semalam.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tangkapan itu membawa kepada rampasan 10 buah telefon bimbit milik suspek, lima telefon bimbit milik mangsa, dua buah kereta jenis Proton Perdana dan Audi Q7 serta sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Terrano.
Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver, pistol tiruan, seutas rantai besi sepanjang 4.7 meter beserta lima buah mangga dan anak kunci.
“Pelitup muka, kabel serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas dalam serbuan tersebut. Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek yang berusia antara 20 hingga 46 tahun itu mendapati kesemua mereka negatif dadah.
“Sebelum itu, kesemua mangsa yang berusia 20-an itu telah diculik dan dikurung oleh suspek di sebuah rumah di Pasir Puteh. Suspek kemudian telah meminta wang tebusan berjumlah RM150,000 daripada majikan mangsa untuk membebaskan kesemua mereka yang diculik itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, majikan berkenaan telah menyerahkan wang tebusan berjumlah RM29,000.
Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dengan ugutan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana sekatan salah, Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan niat salah serta Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan,” ujarnya.-UTUSAN