KL kembalikan 'taring' ASEAN

KL kembalikan ‘taring’ ASEAN

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri China, Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEANChina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai berbaris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk melihat sendiri pesawat Air Force One, kapal terbang yang membawa orang paling berkuasa di dunia.

Lawatan Donald Trump ke Malaysia menjadikan beliau Presiden Amerika Syarikat (AS) ketiga dari ekonomi terbesar dunia melawat Malaysia selepas Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barack Obama 2014.

Ketibaan Trump ke Kuala Lumpur yang sebelum ini mendapat kecaman, mendapat liputan meluas di seluruh dunia. CNN memaparkan berita dan visual Trump menari di karpet merah setibanya di KLIA.

Video joget Trump mendapat tontonan puluhan juta di seluruh dunia. Seorang pemerhati berkata, walaupun dia tidak bersetuju dengan beberapa tindakan Trump, lawatannya ke sini meletakkan “Malaysia di peta dunia sekali…untuk sebab yang betul.”

Semua agensi berita dunia menyiarkan setiap perkembangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 terutama membabitkan Trump ketika pentas global mahu melihat apa yang akan berlaku di Kuala Lumpur.

Jika ada pentas yang lebih berjaya untuk ASEAN, persidangan kali ini memberikan pakatan yang diwujudkan 58 tahun lalu, kedudukan baru di mata dunia.

Tidak pernah perjumpaan ketua-ketua ASEAN yang mewakili 600 juta penduduk mendapat perhatian seluas ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampak puas persidangan dan mesyuarat membabitkan lebih 20 pemimpin dunia meletakkan ASEAN ke tahap baru.

Di Kuala Lumpur, Anwar sebagai Pengerusi ASEAN dan Trump menyaksikan Perjanjian Damai antara Kemboja dan Thailand, sekali gus menghentikan sengketa di sempadan dua rakan dalam pakatan di Asia Tenggara itu.

“Saya tetap berbangga walaupun kita berdepan perbezaan dan debat, kita kekal bersama,” katanya ketika menutup sidang kemuncak itu.

Pada perjumpaan kali ini, Malaysia, Kemboja dan Thailand memeterai perjanjian timbal balik dengan Amerika Syarikat, sekali gus menyelamatkan produk negara yang bernilai berbilion ringgit daripada dikenakan tarif tambahan.

Timor-Leste, negara yang dengan hanya 1.4 juta penduduk dan ekonomi bernilai RM1.8 bilion, diterima masuk sebagai anggota baru ASEAN. Delegasi dari Timur Leste dilihat menitis air mata selepas Anwar mengumumkan anggota ke-11 ASEAN itu. Presiden Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menangis ketika mengambil tempat di podium.

Anwar juga membawa Isu Gaza terutama kepada Trump yang mahu dilihat sebagai penamat peperangan dan konflik senjata di dunia. Trump masih mengidam anugerah Nobel Prize Keamanan.

Sidang kali ini juga menemukan seteru perdagangan AS – Canada, Brazil, India dan China – ketika Trump mengenakan ancaman tekanan tarif.

Di Kuala Lumpur, Trump mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus terhadap Ottawa ketika Perdana Menteri Kadana, Mark Carney berada di Malaysia untuk Sidang ASEAN.

Amerika Syarikat dan China juga menjadikan Kuala Lumpur pentas perbincangan rangka persetujuan bagi meredakan sengketa perang tarif antara dua ekonomi terbesar dunia itu. Trump dijangka bertemu Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn berkata, Malaysia berjaya mengemudi blok itu dengan seimbang antara isu keselamatan, ekonomi dan hubungan antara rakyat.

“Saya memuji kepemimpinan Malaysia kerana memajukan kepentingan teras ASEAN yang merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi, sosio-budaya serta keterhubungan serantau,” katanya.

Bagaimanapun, isu-isu kritikal lain seperti pertikaian Laut China Selatan dan konflik Myanmar masih belum menemui titik noktah.

Beberapa pemimpin ASEAN menyatakan walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia berjaya mempengaruhi pemimpin besar dunia untuk menghadiri sidang kemuncak kali ini.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memuji peranan Malaysia dalam menangani krisis serantau seperti ketegangan Thailand-Kamboja dan isu keselamatan di Laut China Selatan.

“Malaysia sudah melaksanakan tugas yang amat baik dalam memimpin ASEAN melalui tahun yang begitu penting dan mencabar,” katanya.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, keyakinan dunia terhadap ASEAN meningkat berikutan blok itu bersikap neutral yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kita neutral, tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa dunia, sama ada dari AS, Russia, China, Brazil mahu pun Afrika Selatan. Itu sebabnya mereka selesa, boleh duduk semeja berunding,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kesudian semua pemimpin dunia yang menghadiri sidang kemuncak kali ini dalam kalangan mereka yang ‘tidak sebulu”, membuktikan ASEAN terutama Malaysia boleh menjadi fasilitator yang adil.

“Kita tahu hubungan AS dengan China tegang akibat perang perdagangan. Washington juga ‘bergaduh’ dengan Afrika Selatan susulan isu Gaza yang dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tetapi mereka tetap datang dan sama-sama berunding.

“Cuba kalau Malaysia berpihak kepada mana-mana, tentu ada negara yang enggan datang. Tetapi kerana kita negara terbuka, tidak memusuhi sesiapa, semua hadir dan berbincang dengan baik. Itulah kejayaan sebenar seorang tuan rumah,” katanya.

Pakar geostrategi Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, kredit harus diberikan kepada kepemimpinan Malaysia yang berjaya menarik kehadiran tokoh besar dunia termasuk Trump.

Katanya, sidang kemuncak kali ini secara tidak langsung menjadi platform praperbincangan isu-isu kritikal menjelang APEC di Seoul, Korea Selatan termasuk rancangan pertemuan Trump dengan Jinping.

“Jika Trump dan Jinping berjaya mengadakan pertemuan, maka secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai watak penting dalam percaturan diplomasi global,” katanya.

Ia akan mengambil lebih sedekad lagi sebelum sidang Kemuncak ASEAN kembali ke Kuala Lumpur dan banyak akan berubah dalam tempoh itu. Tetapi persidangan kali ini tetap menjadi detik penting sejarah dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×