PETALING JAYA: Kerajaan akan meneruskan kerja-kerja pencegahan dan pemantauan di 3,000 cerun berisiko tinggi di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu bertujuan mengelak kejadian tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Pemantauan dibuat secara masa nyata dan semua peralatan pun sudah disediakan.
“Antara lokasi cerun berisiko itu ialah di Cameron Highlands,” katanya selepas merasmikan Persidangan Belia CIDB-CIOB Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen CIDB, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tanah runtuh, pokok tumbang dan jatuhan batu yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Pulau Pinang sejak Selasa lalu.
Kejadian paling ketara direkodkan di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) apabila satu runtuhan cerun kritikal berlaku di Kilometer 5.10 laluan P14.
Sehubungan itu, laluan di P14 Jalan Tun Sardon ditutup sepenuhnya bagi tujuan keselamatan.
Beberapa kejadian lain turut direkodkan di jajaran sama termasuk pokok tumbang dan batu jatuh di beberapa kilometer berbeza seperti di KM1.05, KM1.15, KM4.00, KM4.05, KM4.55 dan KM5.00. – UTUSAN










