Kerajaan sedia hadapi banjir, 1,380 siren amaran dipasang

Kerajaan sedia hadapi banjir, 1,380 siren amaran dipasang

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap mmerasmikan Himpunan Silat Pesaka Malaysia 2025 di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.-GAMBAR/FACEBOOK ZAHID HAMIDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan agar tidak memandang ringan risiko banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini, meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan tidak seteruk musim lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan pola cuaca luar jangka menyebabkan hujan lebat luar biasa kini berlaku di kawasan yang lazimnya tidak terjejas seperti di Perak dan Kedah

“Hujan ini akan melanda pantai timur tetapi ia berlaku di utara Perak dan pantai barat Kedah.

“Ini hukum alam, yang pentingnya hukum dan ketentuan Allah dan kita (kerajaan) telah melakukan kesiapsiagaan yang lebih untuk menghadapi bencana tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Silat Pesaka Malaysia 2025 di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa memperkukuh koordinasi di peringkat negeri dan daerah terutama di kawasan panas (hotspot) banjir bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi musim MTL berjalan lancar.

Beliau berkata, langkah itu turut melibatkan penambahan aset logistik NADMA dan pasukan keselamatan lain termasuk polis, tentera dan bomba selain menggerakkan pasukan sukarelawan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan turut memanfaatkan sistem amaran awal oleh MetMalaysia yang membolehkan amaran cuaca dikeluarkan seminggu lebih awal bagi memastikan penduduk di kawasan berisiko dapat membuat persediaan.

“Kita minta pemindahan dilakukan tiga hari sebelum paras air meningkat dan luruan hujan lebih banyak di sesuatu kawasan.

“Jadi saya harap arahan ini diikuti dan kini kita telah memasang 1,380 isyarat siren di kawasan titik merah yang dijangka paras air tinggi.

“Siren amaran yang dipasang di kawasan berisiko itu akan diaktifkan apabila banjir berada di tahap kuning atau merah bagi membolehkan penduduk bukan sahaja berjaga-jaga tetapi bersiap siaga untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara atau pusat pemindahan tetap yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN