Kementerian Pengangkutan arah APAD siasat MAHB

Kementerian Pengangkutan arah APAD siasat MAHB

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung beberapa insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil bagi memastikan MAHB bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mutu perkhidmatan yang dikendalikan syarikat berkenaan.

“Pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementerian memahami bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana perkhidmatan tersebut masih berada dalam fasa penyesuaian awal.

“Namun, memandangkan Aerotrain kini telah beroperasi selama beberapa bulan, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat itu wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain berada pada paras memuaskan kepada pengguna.

“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran terhadap syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Perkhidmatan Aerotrain di KLIA mula beroperasi semula pada 1 Julai tahun ini selepas dihentikan selama dua tahun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian sistem baharu. Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha MAHB untuk meningkatkan pengalaman dan keselesaan penumpang di lapangan terbang utama negara itu.

Bagaimanapun, beberapa insiden gangguan sejak kebelakangan ini menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna, termasuk kelewatan perjalanan antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN