HULU SELANGOR: Penurunan kadar kemalangan ketara dilaporkan dekat laluan berhampiran Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan, di Ipoh, Perak sejak kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dikalibrasi pada Januari.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tiada kemalangan dilaporkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
“Sebelum ini, boleh dikatakan hampir setiap minggu atau sekurang-kurangnya sebulan sekali berlaku kemalangan di kawasan tersebut. Ada satu lokasi sudah hampir dua bulan tidak berlaku kemalangan.
“Bila pemasangan tersebut dilakukan, ada dua atau tiga bulan sekali baru berlaku kemalangan. Penurunan kadar kemalangan yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Kelmarin, kamera AwAS di kawasan berkenaan dilapor merekodkan 3,000 saman setiap hari melibatkan kesalahan trafik.
Muhammad Kifli ketika itu menyatakan, jumlah tersebut berpandukan kepada data yang diperolehi JPJ dan notis saman paling banyak direkodkan adalah pada waktu puncak terutama semasa musim perayaan atau cuti sekolah.
Kata Muhammad Kifli, susulan penurunan kadar kemalangan di kawasan tersebut, beliau turut menyeru pemandu kenderaan supaya memupuk kesedaran di kawasan-kawasan lain.
“Kami minta supaya kesedaran itu ada dan pemandu berhati-hati bukan sahaja di lokasi pemasangan kamera, tetapi juga di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
“Kami mahu kesedaran itu wujud, tetapi masih terdapat pengguna yang melanggar (peraturan jalan raya),” ujarnya. – UTUSAN










