Ops Perang Lebih Muatan: 5,491 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan

Ops Perang Lebih Muatan: 5,491 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan

Kenderaan perdagangan
AZRIN Borhan menunjukkan sebuah lori yang disita atas kesalahan lebih muatan pada sidang akhbar JPJ Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 5,491 kenderaan perdagangan diambil tindakan oleh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor atas pelbagai kesalahan dan 747 daripadanya dikesan membawa lebih muatan 50 peratus.

Daripada keseluruhan jumlah tersebut juga, pihak berkuasa itu turut mengesan 1,745 pemandu tiada lesen memandu dan 1,926 tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) atau Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Malah, daripada 50,839 kenderaan yang diperiksa, 1,867 daripadanya tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan 679 tiada perlindungan insurans.

Pengarah JPJ Selangor, Azri Borhan berkata, pemeriksaan berterusan dalam Operasi (Ops) Perang Lebih Muatan dari 14 Oktober hingga semalam, mendapati secara keseluruhan sebanyak 12,703 kesalahan dikesan dan 23,447 notis dikeluarkan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan kesalahan teknikal melibatkan 3,739 kenderaan dan 1,980 didapati tiada peranti had kelajuan (SLD).

“Semalam, JPJ Selangor melaksanakan Ops Penyamaran dan menahan serta menyita sebuah lori jenis low loader yang membawa muatan rolled steel coil. Hasil siasatan mendapati pemandu lori berkenaan tidak memiliki GDL dan CDL yang sah.

“Susulan itu, JPJ Selangor membuka kertas siasatan atas kesalahan melanggar syarat lesen pengendali di bawah Seksyen 57, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), dan akan memohon kepada pihak mahkamah untuk melucut hak kenderaan tersebut di bawah Seksyen 80 akta yang sama,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Azri menambah, kenderaan tersebut disita dan notis penggantungan terhadap syarikat pemilik lori tersebut akan dimohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Jelasnya, JPJ Selangor memandang serius kesalahan sedemikian kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kenderaan jenis ini bersaiz besar dan membawa muatan berisiko tinggi yang boleh menggelongsor atau jatuh jika tidak diikat dengan sempurna, apatah lagi jika dipandu secara berbahaya,” tegasnya.

Justeur, Azri mengingatkan serta memberikan amaran keras kepada semua pihak pengendali kenderaan perdagangan agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu tanpa lesen memandu yang sah mengendalikan kenderaan berat.

“Pihak pengendali atau syarikat juga hendaklah memastikan setiap kenderaan diselenggara dengan baik serta pemandu mematuhi syarat lesen dan peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Orang ramai turut diseru agar menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata (real-time) melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] beserta butiran lengkap aduan bagi tindakan lanjut pihak jabatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN