Jualan RON95 di kampung Orang Asli Gua Musang dipantau, elak ketirisan

Jualan RON95 di kampung Orang Asli Gua Musang dipantau, elak ketirisan

AZMAN Ismail (kanan) memeriksa harga barangan semasa Program Walkabout sempena pelaksanaan SHMMP Deepavali 2025 di Kubang Kerian, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memantau penjualan Budi Madani RON95 di pos penempatan Orang Asli di Gua Musang bagi mengelakkan ketirisan kepada warga asing.

Pengarahnya Azman Ismail berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan peniaga yang terlibat dengan penyelewengan itu.

Katanya, Pos Brooke dan Kuala Betis merupakan dua lokasi yang menyediakan kemudahan tersebut untuk dinikmati oleh 15,000 masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.

“Walaupun jualan secara manual di kawasan itu, peniaga perlu menjualnya kepada Orang Asli yang mempunyai MyKad sahaja dengan harga RM1.99 seliter dan bukan kepada warga asing.

“Kami tahu ada warga asing yang berada di kawasan Lojing (Gua Musang), namun pemantauan secara berkala akan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di sebuah pasar raya di Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, walaupun purata jualan RON95 antara 100 hingga 200 liter namun pemantauan berterusan akan dijalankan.

Katanya, hal ini kerana kebanyakan mereka menggunakan motosikal.

“Setakat ini, belum lagi ada aduan mengenai penjualan petrol itu kepada warga asing. Kami membekalkan sebanyak 82,000 liter sebulan petrol kepada peniaga atau kepada lima pos yang dilantik bagi tujuan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN