PETALING JAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyambut ketibaan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Kedatangan Lula dan isterinya, Janja Lula da Silva adalah sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Johari berkata, Malaysia dan Brazil berkongsi aspirasi yang sama dalam memperkukuh agenda kelestarian global, pembangunan inklusif serta kerjasama Selatan-Selatan.
“Saya berbesar hati menyambut ketibaan TYT Luiz Inácio Lula da Silva di Malaysia. Malaysia dan Brazil berkongsi aspirasi yang sama dalam agenda kelestarian global, pembangunan inklusif dan kerjasama Selatan-Selatan.
“Semoga kehadiran TYT Presiden Lula da Silva memperkukuh lagi persahabatan antara kedua-dua negara serta membuka lembaran baharu kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Brazil,” katanya hari ini.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Lula da Silva ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan bagi penggal baharu pada Januari 2023.
Lawatan ini mencerminkan hubungan rapat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Brazil,
berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama, serta aspirasi bersama untuk
memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Pada tahun 2024, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM20.36 bilion (AS$4.46 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Brazil merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, minyak sawit, getah, peranti perubatan serta farmaseutikal halal, manakala import dari Brazil terdiri daripada bijih logam dan sekerap logam, makanan terproses, produk petroleum dan petroleum mentah. – UTUSAN










