KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan golongan ekstremis sebaliknya perlu mempertahankan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu menjadi lebih bijak, berfikir secara rasional dan sentiasa berlandaskan maklumat yang sahih agar tidak mudah dimanipulasi oleh sentimen perkauman atau keagamaan.
Katanya, masyarakat majmuk di negara ini perlu mengekalkan keunikan di sebalik kepelbagaian kaum dan agama, selain terus berwaspada dan tidak terpengaruh dengan sebarang naratif negatif.
“Di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kita lihat kebangkitan kumpulan berhaluan kanan dan ekstremis yang menentang kaum minoriti serta pendatang asing.
“Fenomena ini perlu dijadikan peringatan kepada kita agar sentiasa berwaspada dan tidak terjebak dalam naratif yang boleh memecahbelahkan rakyat. Malaysia mesti kekal bersatu dalam kepelbagaian.
“Jaga ini (perpaduan antara kaum). Ini yang perlu kita perkukuh dan pertahankan, dari zaman dulu, ibu bapa kita lagi. Kita melihat sambutan Hari Raya, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Krismas sebagai sebahagian daripada budaya dan tradisi.
“Tidak rugi sedikitpun (jika pertahan perpaduan antara kaum), sebaliknya memberi banyak keuntungan kepada semua pihak,” katanya ketika berucap dalam di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di KL Sentral, di sini hari ini.
Justeru, beliau menyokong dengan tema Deevapali tahun ini iaitu Cahaya Madani Sinar Perpaduan dilihat amat bermakna yang membawa pengertian yang begitu mendalam dan asas.
“Sebab itulah saya berasa sangat berbangga menyokong tema Deepavali tahun ini. Kita sering mengambil ringan perkara ini, menganggap ia sudah menjadi sebahagian daripada tradisi dan budaya kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, segala kemajuan yang dikecapi negara tidak akan mampu dicapai tanpa perpaduan yang kukuh antara rakyat.
Jelasnya, keunikan Malaysia terserlah melalui keupayaannya mengekalkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama.
“Namun hakikatnya inilah keunikan Malaysia yang sebenar. Kita mesti melakukan apa sahaja yang perlu untuk memelihara perpaduan dan kasih sayang yang terjalin antara semua kaum dan agama di negara ini.
“Segala kemajuan yang kita lihat hari ini sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun budaya tidak akan dapat dicapai tanpa Malaysia yang bersatu padu, tanpa keamanan dan kestabilan,” katanya. – UTUSAN











