KANGAR: Isu melibatkan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini memerlukan perhatian menyeluruh daripada semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, satu pendekatan holistik yang efektif diperlukan menerusi gerakan menyeluruh sebelum sebarang tindakan jangka panjang dilaksanakan berhubung isu tersebut.
Beliau berkata, kerajaan dan Kabinet sememangnya telah membuat perancangan khusus terhadap isu itu namun dalam masa sama, setiap pandangan daripada masyarakat juga seharusnya diambil perhatian.
“Saya ambil contoh macam baru-baru ini di sebelah Pulau Pinang, ada guru yang telah hukum pelajar di dalam bilik disiplin dan telah dituduh di mahkamah dengan tangan mereka bergari.
“Guru hukum pelajar di bilik disiplin adalah perkara yang lazim sebelum ini, dan apabila mereka digari disebabkan jalankan hukuman, di mana air muka mereka nak letak ?.
“Kalau perbuatan mereka keterlaluan itu lain cerita, ini hukuman dalam bilik disiplin dan kes-kes seperti inilah perlu dilihat secara mendalam,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung MCA Perlis Tahun 2025 di Pejabat MCA negeri, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pesara guru dan seorang guru di sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) di Pulau Pinang didakwa di mahkamah selepas merotan seorang pelajar sekolah yang sama pada 2023.
Namun begitu, beberapa pihak tampil mempertikaikan apabila tangan kedua guru berkenaan telah digari semasa dibawa masuk ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan itu.
Ka Siong berkata, beliau membimbangi tindakan ke atas guru tersebut bakal menyebabkan warga pendidik risau untuk memberikan sebarang teguran ke atas pelajar sekiranya mereka melakukan kesalahan pada masa hadapan.
“Saya bimbang ini akan jadi implikasi besar kepada warga pendidik dan akhirnya mereka tidak akan lagi menegur sebarang kesalahan murid kerana bimbang akan digari,” katanya.-UTUSAN










