KPM mula reformasi sekolah minggu depan

KPM mula reformasi sekolah minggu depan

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan program reformasi sekolah mulai minggu depan dengan memilih 10 sekolah di setiap daerah sebagai projek rintis bagi mengangkat mutu pendi­dikan serta kemenjadian murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah untuk dibangunkan sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.

Menurut beliau, setiap sekolah yang terpilih berpeluang menerima peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan mengikut keperluan dan perancangan masing-masing.

“Mulai minggu hadapan akan bermulanya satu lagi program penting berkaitan reformasi sekolah.

“Setiap daerah akan me­ngangkat 10 sekolah iaitu lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang harus menjadi sekolah terbaik di daerah masing-masing.

“Saya telah melalui beberapa sesi bersama sekolah-sekolah ini dan nampaknya masing-masing cukup bersemangat kerana tawaran kita adalah sehingga RM100,000 bagi setiap sekolah untuk me­lakukan pelbagai perubahan dan reformasi,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga KPM, di sini semalam.

Fadhlina berkata, inisiatif itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, malah memperkukuh profesionalisme guru serta membentuk ekosistem sekolah yang lebih berkualiti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan reformasi sekolah tidak boleh dilaksanakan melalui jalan pintas atau hanya tertumpu kepada penambahbaikan fizikal semata-mata.

“Tetapi reformasi ini tidak berjalan singkat. Saya juga memberi teguran kepada sekolah-sekolah bahawa bila kita hendak melaksanakan reformasi, kita tidak boleh ambil jalan singkat.

“Contohnya, memasang pen­dingin hawa di semua sekolah atau menyediakan papan pintar di setiap kelas, itu bukan reformasi.

“Reformasi yang kita hasratkan ialah perubahan budaya, perubahan ekosistem dan perubahan mentaliti yang perlu digarap oleh seluruh warga sekolah untuk mengangkat martabat sekolah menjadi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, reformasi itu turut merangkumi perubahan cara bekerja, kaedah pengajaran, penjagaan kesihatan mental, usaha menangani isu buli serta memastikan kesejahte­raan seluruh warga sekolah te­rus diperkasakan.

Sementara itu, sebahagian besar projek penyediaan infrastruktur bagi menyambut kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal daripada jadual.

Fadhlina berkata, perkembangan itu membuktikan kesiapsiagaan KPM dalam memastikan kemudahan sekolah berada pada tahap terbaik sebelum murid memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Tahniah kerana dalam persiapan kita, khususnya persiapan infrastruktur kita menerima kehadiran anak-anak enam tahun di darjah satu tahun hadapan, projek-projek sudah pun ada yang siap ‘ahead of time’. Maknanya jauh lebih awal,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN