Iran hukum mati tali barut Israel

Iran hukum mati tali barut Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran melaksanakan hukuman mati terhadap seorang individu yang dituduh menjadi perisik untuk Israel, lapor agensi kehakiman negara itu, Mizan.

Menurut laporan Reuters yang memetik kenyataan seorang pendakwa raya Iran, individu berkenaan dikatakan mempunyai hubungan dengan agensi perisikan Israel, Mossad, dan didakwa telah membocorkan maklumat sulit kepada pihak asing.

Iran, yang telah lama terlibat dalam krisis dengan Israel sebelum ini menghukum mati ramai individu yang dituduh mempunyai kaitan dengan perisikan Israel atau membantu operasi negara itu di dalam wilayah Iran.

Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan siri serangan berdarah di tenggara Iran, mendorong kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu yang memperberatkan hukuman terhadap individu yang disyaki mengintip untuk Israel atau Amerika Syarikat (AS).

Rabu lalu, undang-undang tersebut mula berkuat kuasa, memperuntukkan tempoh penjara lebih panjang dan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan pengintipan khususnya yang melibatkan kerajaan musuh seperti Israel dan AS, menurut laporan media tempatan.

Dalam perkembangan berasingan, Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan pada Ahad sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam beberapa serangan di Wilayah Sistan-Baluchestan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan berkaitan Israel.

Serangan itu berlaku pada tarikh yang tidak dinyatakan di wilayah bergolak itu yang juga antara kawasan termiskin di Iran dan dihuni oleh penduduk minoriti Baluch bermazhab Sunni berbeza dengan majoriti penduduk Iran yang bermazhab Syiah.

Dalam kenyataan yang disiarkan melalui saluran rasmi IRGC, Siba News, pihaknya menuduh kumpulan upahan yang mempunyai kaitan dengan rejim Israel bertanggungjawab atas pembunuhan beberapa ketua suku kaum Sunni tempatan.

Wilayah Sistan-Baluchestan yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, telah lama menjadi pusat konflik dan kegiatan militan melibatkan kumpulan pemisah Baluch, militan Sunni dan penyeludup dadah.

Pihak berkuasa Iran sering menuduh kumpulan jihad yang aktif di wilayah itu mempunyai hubungan dengan Israel.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN