KUALA LUMPUR: Hubungan rapat dengan negara luar serta badan seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) bagi mengukuhkan hubungan dengan badan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik dengan pelbagai negara dan badan antarabangsa dapat menjaga kepentingan imej, ekonomi, pelaburan negara, sekali gus memanfaatkan rakyat.
“Bila kita baik dengan negara luar, orang akan datang kepada sini sebagai pelancong, perdagangan, pelabur dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Jadi itu sebabnya mengapa kita teruskan dengan sidang-sidang ini dan yang lain itu termasuk bertemu dengan wakil daripada IMF, Bank Dunia, AMRO dan beberapa badan-badan dunia yang lain,” katanya pada sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar telah bertemu dengan Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva.
Beliau dalam hantaran di platform X berkata, pertemuan ini mengukuhkan hubungan erat dan konstruktif antara Malaysia dan IMF yang berteraskan rundingan berkala, bantuan teknikal serta kerjasama dasar yang rapat.
“Perbincangan turut menyentuh isu keseimbangan semula perdagangan global, pengukuhan rangka keselamatan kewangan antarabangsa serta pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani.
“Malaysia kekal komited terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada tahun 2025,” jelasnya. – UTUSAN










