KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi bercadang menjadikan Hari Muzik Negara sebagai sambutan nasional bagi memperkukuh industri muzik tempatan.
Menterinya, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menghargai dan meraikan sumbangan pemuzik tanah air, selain memperkukuh ekosistem muzik secara menyeluruh.
Katanya, meskipun pelbagai majlis anugerah muzik telah diadakan saban tahun, sambutan Hari Muzik Negara akan menjadi platform menyatukan semua genre dan penggiat muzik dalam satu acara peringkat nasional.
“Kita mahu semua bidang muzik, sama ada bersifat komersial, tradisional mahupun kontemporari dapat diraikan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan RIUH x ASEAN 2025, malam tadi.
Jelasnya, kementeriannya melalui MyCreative Ventures sebelum ini telah menjalankan kajian bagi menilai keperluan mewujudkan akta khusus untuk industri muzik, yang akan menjadi asas kepada pelaksanaan sambutan Hari Muzik Negara.
Ahmad Fahmi Berkata, hasil kajian itu akan dibentangkan dalam masa terdekat sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
RIUH x ASEAN 2025 merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, QSR Brands (M) Holdings Berhad dan PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd, sebagai platform memperkasakan industri kreatif tempatan merangkumi muzik, fesyen, makanan dan seni visual. – UTUSAN











