KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bertindak balas dan berdepan cabaran global pada dua tonggak utama iaitu keselamatan ekonomi dan ketahanan ekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dua tonggak ini penting bagi memastikan rantau ini kekal stabil, berdaya tahan dan mampu mempertahankan autonomi strategik di tengah ketidaktentuan global.
Katanya, keselamatan ekonomi bukan bererti proteksionisme, sebaliknya memastikan ASEAN kekal terbuka tetapi selamat dengan melindungi kestabilan rantaian bekalan, menjamin akses kepada barangan dan teknologi kritikal serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tunggal.
“Fokus kita haruslah kepada perlindungan kestabilan rantaian bekalan serantau dan global, menjamin akses kepada barangan, tenaga dan teknologi kritikal!serta mengurangkan kebergantungan terhadap mana-mana pasaran atau sumber pengeluaran tunggal.
“Ini juga meliputi pengukuhan keselamatan makanan, tenaga dan digital, di samping membina keupayaan institusi untuk menjangka dan mengurangkan risiko sebelum ia berkembang menjadi krisis,” katanya pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Ekonomi dan Luar Negeri ASEAN (AEM–AMM) di sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama Menteri Luar yang juga Pengerusi AMM, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, ketahanan ekonomi memerlukan kepelbagaian pasaran dan rangkaian bekalan, memperdalam perdagangan dan pelaburan intra ASEAN serta meningkatkan kerjasama dengan rakan sehaluan bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang stabil dan boleh dijangka.
“Dua tonggak ini akan menjadi asas kepada keupayaan ASEAN untuk terus menjadi hab yang diyakini dan berdaya saing di tengah cabaran global,” katanya.
Beliau berkata, dunia kini sedang menyaksikan peningkatan proteksionisme, pemisahan teknologi dan langkah unilateral oleh kuasa besar yang boleh menjejaskan kemajuan keterbukaan dan kerjasama yang telah dibina ASEAN selama beberapa dekad.
“Selama beberapa dekad, perdagangan terbuka dan integrasi serantau telah menjadi pemacu utama pertumbuhan ASEAN dengan mengeluarkan berjuta-juta orang daripada kemiskinan, memacu perindustrian dan menjadikan rantau ini sebagai hab utama dalam rantaian nilai global.
“Namun kini, kemajuan ini sedang terancam. Peningkatan proteksionisme, pemisahan teknologi dan langkah unilateral mengancam untuk menjejaskan hasil yang telah kita bina melalui keterbukaan dan kerjasama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang ditubuhkan awal tahun ini akan memberikan input bernilai untuk membentuk masa depan rantau ini.
“AGTF telah membentangkan dapatan awal dan syor kepada AMM pada Julai 2025 dan kepada AEM bulan lalu.
“Saya menantikan pembentangan hari ini yang diharap akan memberikan cadangan yang jelas, praktikal dan berpandangan jauh bagi membimbing hala tuju strategik ASEAN dalam era baharu ini,” ujarnya. – UTUSAN










