PASIR PUTEH: Seorang guru wanita cedera selepas dipatuk seekor anak ular tedung senduk semasa menggunakan tandas dalam kejadian di sebuah tadika di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an tidak mengalami kecederaan serius.
Guru berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku semasa dia mahu mengalihkan baldi untuk menggunakan tandas tersebut.
“Semasa mengalihkan baldi, saya terasa tangan kanan seperti gigit oleh sesuatu. Terkejut dengan kejadian itu, saya terus berlari keluar dari tandas dan memaklumkan perkara tersebut kepada seorang lagi guru serta pembantu.
“Saya kemudian telah dibawa oleh rakan ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut guru wanita itu, dia bersyukur tidak mengalami kecederaan serius.
Katanya, dia sempat melihat kelibat reptilia itu menyusur keluar melalui sisip angin yang terdapat di dalam tandas berkenan.
“Sebelum kejadian, sudah ada kanak-kanak yang menggunakan tandas tersebut. Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Guru wanita mengakui dia masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.-UTUSAN