PETALING JAYA: Kelewatan kerja terhadap projek Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Semporna, Sabah mengakibatkan peningkatan kos sehingga RM 81.51 juta daripada kos asal iaitu RM 52.81 juta.
Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, pihaknya mendapati kelewatan kerja pembinaan projek FOB di Pulau Mabul, Sabah telah memberi impak kepada keseluruhan kos siling projek.
Menurutnya, akibat kelewatan kerja tersebut kos siling projek telah meningkat sebanyak RM28.70 juta disebabkan oleh faktor inflasi, perubahan reka bentuk dan penambahan skop kerja baharu.
“Peningkatan kos ini menyebabkan pelepasan kos projek sedia ada iaitu Projek Pembangunan Projek sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa 2 di Area Control Centre (ACC) Sandakan, Sabah dan Remote Sensor Site (RRS) Malawali, Sabah dan mengakibatkan pelaksanaan projek ini tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, menerusi laporan audit tersebut juga menyatakan bahawa projek FOB tersebut masih belum disiapkan selepas hampir 10 tahun dirancang.
“Projek FOB di Pulau Mabul telah dirancang sejak tahun 2016 dan diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Kesebelas, (RMKe-11), namun sehingga bulan Julai 2025 projek masih belum disiapkan selepas hampir 10 tahun dirancang,” katanya.
Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk bangunan yang masih belum siap, pembinaan jeti yang belum dimulakan, serta penamatan kontrak terhadap Syarikat 762935-D disebabkan prestasi kerja yang tidak memuaskan.
“Walaupun terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti, projek FOB di Pulau Mabul wajar disiapkan. Ini adalah untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan keselamatan berteknologi tinggi dapat disediakan dalam mempertingkatkan tahap pengoperasian dan keberkesanan kawalan keselamatan perairan Timur Sabah dan persekitarannya,” katanya.
Bagi memastikan tatakelola kewangan dipatuhi sepenuhnya, pihaknya mengesyorkan pemantauan prestasi yang lebih menyeluruh perlu dilaksana oleh Pegawai Penguasa,
termasuk kewajipan kontraktor untuk mengemukakan pelan pemulihan kerja sekiranya
berlaku kelewatan.
“Setiap perkara berbangkit hendaklah diambil tindakan bagi memastikan sebarang aduan ditangani dengan segera dan berkesan. Pemantauan juga perlu dipertingkatkan agar kerja dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan dan tidak menjejaskan keseluruhan perancangan projek.
“Pihak Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam pengurusan projek bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan dalam menjamin kepentingan Kerajaan,” katanya.-UTUSAN










