KUALA LUMPUR: Perbelanjaan subsidi yang dikenakan kepada perbelanjaan (Vot) mengurus pada 2024 mencatatkan RM41.939 bilion iaitu penurunan sebanyak RM7.251 bilion atau 14.7 peratus berbanding RM49.190 bilion pada 2023.
Berdasarkan Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan hari ini, penurunan ketara itu adalah hasil pelaksanaan penyasaran semula subsidi oleh kerajaan Persekutuan.
“Daripada jumlah subsidi tersebut, perbelanjaan tertinggi adalah bagi produk petroleum dengan RM34.906 bilion atau 83.2 peratus daripada keseluruhan subsidi.
“Subsidi produk petroleum merangkumi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang dibekalkan oleh 16 syarikat pengeluar,” kata laporan itu.
Selain itu, bayaran balik di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang berkuat kuasa pada 10 Jun 2024 diberikan kepada 2,982 penerima layak dengan jumlah keseluruhan RM7.94 juta.
“Bayaran subsidi ini berdasarkan perbezaan antara harga jualan ditetapkan kerajaan dan harga sebenar pasaran.
Bagi 2024, purata harga minyak mentah dunia direkodkan pada AS$80.818 satu tong, sedikit menurun berbanding AS$82.638 satu tong pada 2023, namun harga jualan yang ditetapkan kerajaan kekal sama,” kata laporan itu lagi.
Trend lima tahun menunjukkan perbelanjaan subsidi meningkat ketara antara 2020 hingga 2022 kepada RM50.784 bilion atau 1,090 peratus, sebelum menurun kepada RM41.939 bilion dalam dua tahun berikutnya iaitu penurunan sebanyak RM13.504 bilion atau 24.4 peratus.
Peningkatan subsidi pada 2022 disumbangkan oleh pemulihan ekonomi selepas Malaysia memasuki fasa endemik Covid-19 serta kenaikan harga purata produk petroleum kepada AS$100 satu tong.
Kerajaan kemudian melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal, selain penurunan harga purata produk petroleum sekali gus mengurangkan perbelanjaan subsidi bagi tempoh 2022 hingga 2024.-UTUSAN










