PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa gangguan direkodkan, meskipun Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan.
Katanya, pada peringkat awal, pihaknya memahami keperluan MAHB untuk menyesuaikan diri dengan fasa operasi baharu, namun toleransi itu tidak boleh berlanjutan.
“Memandangkan perkhidmatan Aerotrain telah beroperasi selama beberapa bulan, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap insiden gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Anthony, lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB juga menetapkan syarikat berkenaan wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.
“Lesen pengendali yang dikeluarkan kepada MAHB menetapkan bahawa syarikat tersebut wajib memastikan tahap perkhidmatan Aerotrain yang memuaskan kepada pengguna.
“Di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pelanggaran syarat lesen pengendali boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan,” katanya. – UTUSAN










