KLANG: Sebanyak 17 kawasan terutama di sekitar Pelabuhan Klang dijangka mengalami fenomena air laut pasang besar pada ketinggian sehingga 5.7 meter pada esok dan Khamis sekitar pukul 6.30 pagi.
Fenomena tersebut dijangka menyebabkan jalan-jalan utama di sekitar kawasan tersebut seperti di Telok Gong, Pandamaran, Pulau Indah, Pekan Pelabuhan Klang dan Lebuhraya Pintasan Selat Klang Utara (NNKSB) berhampiran Kampung Rantau Panjang dan Bandar Sultan Suleiman.
Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa bagi mengelak daripada kejadian yang tidak diingini.
“Air pasang besar diramalkan pd aras 5.7 meter pada pukul 6.34 pagi. Di Klang, sebanyak 17 lokasi berisiko untuk berlaku limpahan air pasang besar dan banjir pantai sekiranya aras air pasang tinggi diikuti dengan angin dan ombak yang kuat.
“Berdasarkan ramalan hujan yang dikeluarkan oleh Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dijangkakan akan berlaku kejadian ribut petir di beberapa tempat di daerah Klang pada sebelah pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko seperti Klang Utara melibatkan Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Serdang, Kampung Perepat, Kampung Sementa, Kampung Batu 4 dan Jalan Harper.
Di Klang Selatan pula termasuk kawasan di Pelabuhan Klang seperti Taman Kem, Terminal Jeti Pulau Ketam, Taman Teluk Gedung Indah, Taman Selat Damai dan Kawasan Perindustrian Pandamaran.
Turut termasuk dalam senarai kawasan berisiko adalah di Pulau Indah seperti Kampung Sungai Kembong dan Kampung Sungai Pindah, sementara Telok Gong yang terletak bersebelahan Pulau Indah juga dijangka terjejas.
“Sentiasa berjaga-jaga dan dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa dan sumber yang sah,” ujarnya. – UTUSAN










