SUNGAI PETANI: Dua pelajar lelaki sebuah sekolah, di sini diperintahkan menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran atas kesalahan menyebabkan kecederaan rakan mereka, Julai lalu.
Majistret Mohamad Azlan Basri memutuskan perintah berkenaan ke atas dua pelajar tingkatan tiga terbabit menerusi prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu ibu kandung perlu menemani mereka melapor diri di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan, sebulan sekali sepanjang tempoh bon selaras Seksyen 93(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang pelajar lelaki tingkatan empat pada 12.15 tengah hari di dewan sekolah berkenaan, 21 Julai lalu.
Disebabkan itu, mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mana hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md. Nor sementara kedua-dua pelajar itu tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, dua pelajar itu dijaminan RM1,000 setiap seorang selepas mengaku salah atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar hingga menyebabkan lebam pada mata dan muntah-muntah. – UTUSAN










