CYBERJAYA: Tiada sebarang perbincangan atau rundingan untuk menukar kerajaan dilakukan dan pentadbiran negara sekarang akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, khabar angin bahawa ada usaha untuk menukar kerajaan tidak benar sama sekali malah turut menafikan dakwaan pertemuan melibatkan antara pimpinan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi BN itu menegaskan, pendirian BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16 selaras dengan keputusan yang telah dipersetujui parti.
“Tak ada, tak tahu. Saya tak tahu-menahu hal tu. Saya periksa dengan Menteri Dalam Negeri pun, mengikut sumber pun tak ada, tak tahu, tak ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini semalam.
Kelmarin, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya pemimpin BN, PN, GPS dan GRS dijadual mengadakan sidang media pada pukul 2 petang semalam bagi mengumumkan
perkembangan berkaitan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini semalam.
Kelmarin, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya pemimpin BN, PN, GPS dan GRS dijadual mengadakan sidang media pada pukul 2 petang semalam bagi mengumumkan perkembangan berkaitan kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, maklumat yang tular itu hanya memetik sumber tanpa menyatakan tujuan sebenar sidang media tersebut, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan berlaku perubahan dalam landskap politik negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendirian BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan adalah selaras dengan resolusi yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO dan tidak pernah berubah.
“Itu pendirian dan resolusi kita yang kita bawa ke Perhimpunan Agung (UMNO). Tidak ada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung dan kita sangat menghormati keputusan itu,” katanya.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO menjadi panduan utama kepada kepimpinan parti dan sebarang tindakan berkaitan hala tuju politik akan berpandukan mandat tersebut.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta semua pihak supaya tidak mudah mempercayai khabar angin atau spekulasi yang tersebar di media sosial serta memberi jaminan bahawa kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak terjejas, malah berharap orang ramai tidak terus dibimbangkan dengan dakwaan yang tidak berasas.
“Jadi, kita harap janganlah risau,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan pertemuan tersebut yang membabitkan pemimpin PN bersama dengan pemimpin parti lain termasuk BN.
Malah katanya, beliau tidak mengetahui akan perkara itu.
“Tidak betul. Tiada pertemuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir sehingga ia dibubarkan bagi membolehkan PRU16 diadakan.
Katanya, walaupun BN bekerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, namun ia tidak menggugat kerajaan di peringkat Persekutuan.
Asyraf Wajdi berkata, selagi kerajaan berpegang kepada perjanjian itu, tidak timbul isu menyerang mana-mana pihak secara peribadi di peringkat Persekutuan sambil mempersoalkan beberapa serangan yang dimainkan dalam kempen PRN di Johor.-UTUSAN










