PETALING JAYA: Prestasi perdagangan Malaysia dijangka berkembang sekitar satu peratus pada separuh kedua 2026, susulan kesan normalisasi selepas pertumbuhan kukuh tahun lalu, selain tekanan daripada tarif Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan ekonomi global.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan yang lebih perlahan itu tidak mencerminkan kemelesetan, sebaliknya fasa normalisasi selepas prestasi perdagangan yang luar biasa pada 2025.
“Tahun 2026 bukan tentang berapa laju kita lari, tetapi tentang berapa stabil kita berdiri di tengah-tengah tarif dan ketidaktentuan global. Ia bukan kemelesetan, sebaliknya fasa normalisasi selepas tahun 2025 yang luar biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perdagangan pada separuh pertama 2026 masih mencatat pertumbuhan kukuh sekitar 3.5 hingga lima peratus berikutan syarikat masih memanfaatkan inventori serta tempahan awal tahun.
Katanya, apabila prestasi itu digabungkan dengan pertumbuhan lebih perlahan pada separuh kedua, pertumbuhan perdagangan bagi keseluruhan tahun dijangka sekitar 2.2 peratus.
“Kesan tarif AS sebanyak 25 peratus ke atas semikonduktor tertentu dijangka lebih ketara pada suku ketiga dan keempat tahun ini apabila stok sedia ada di pasaran AS mula berkurangan.
“Tempias tarif hanya akan benar-benar dirasai pada Julai hingga Disember apabila inventori lama di AS habis digunakan,” ujarnya.
Sementara itu, TA Securities menjangkakan prestasi perdagangan Malaysia dijangka kembali sederhana pada separuh kedua 2026 selepas mencatat pertumbuhan luar biasa kukuh pada separuh pertama, meskipun sektor luar negara terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Katanya, permintaan terhadap eksport Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh kitaran peningkatan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta permintaan global yang terus kukuh.
“Bagaimanapun, beberapa faktor dijangka memberi tekanan kepada prestasi perdagangan negara pada separuh kedua tahun ini, termasuk pengukuhan nilai ringgit dan ketidaktentuan geopolitik yang masih berlarutan.
“Selain itu, sebahagian daripada lonjakan eksport kebelakangan ini dipercayai didorong oleh aktiviti muatan hadapan iaitu syarikat mempercepatkan penghantaran barangan sebelum kemungkinan berlakunya perubahan dasar perdagangan dan dasar lain,” katanya dalam nota penyelidikan.
Tambahnya, data perdagangan suku kedua 2026 turut mengesahkan bahawa sektor luar terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus meneruskan momentum positif yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Jelasnya, eksport Malaysia berkembang 42.4 peratus tahun ke tahun kepada RM545 bilion pada suku kedua, manakala lebihan dagangan melonjak 449.2 peratus kepada RM84 bilion.
“Prestasi itu menunjukkan eksport bersih terus memberikan sumbangan bermakna kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Perkembangan berkenaan adalah selaras dengan anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaporkan ekonomi negara berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2026, disokong oleh pertumbuhan yang meluas merentasi sektor-sektor utama,” jelasnya. – UTUSAN










