Dua pegawai bank wanita didakwa terima suapan

Dua pegawai bank wanita didakwa terima suapan

TERTUDUH diiringi Pegawai SPRM dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan secara berasingan menerima suapan sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan melebihi had kelayakan ditetapkan institusi kewangan. - UTUSAN/AMRAN ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua pegawai bank wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan masing-masing berjumlah RM50,581.51 dan RM8,000 bagi memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan melebihi had kelayakan.

Tertuduh, Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut lima kertas pertuduhan terhadap Syamime, dia yang masih bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur, didakwa menerima suapan berjumlah RM50,581.51 secara pindahan atas talian ke dalam akaun bank miliknya.

Ia sebagai upah kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa institusi kewangan yang lain, yang mana telah menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan mereka.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 8 Disember 2022 hingga 15 Julai 2024.

Sementara itu, Nursyafiqah, yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point, berdepan dua pertuduhan iaitu secara rasuah menerima RM8,000 daripada seorang lelaki secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank miliknya atas kesalahan sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos 2023 dan 9 September 2023.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Syamime dan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi Nursyafiqah.

Sharina turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.

Peguam Emile Ezra Hussain dan M. Manoharan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Elesabet membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN