KUANTAN: Kerajaan digesa memperkenal levi khas terhadap penggunaan plastik kurier bagi mengekang pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing akibat ledakan sektor e-dagang.
Pada masa sama, kerajaan turut dicadang menaikkan caj penggunaan beg plastik daripada 20 sen kepada RM1 di pelbagai premis perniagaan bagi mengurangkan sisa plastik.
Pensyarah Bidang Penyelidikan Oseanografi Kimia dari Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Che Abd. Rahim Mohamed berkata, langkah itu penting kerana jutaan plastik kurier, balutan buih dan pita pelekat dibuang setiap hari tanpa nilai kitar semula.
“Jika pasar raya boleh mengenakan caj 20 sen bagi beg plastik, mengapa sektor e-dagang yang lebih besar tidak dikenakan levi sama? Caj ini bukan sahaja mendidik pengguna, malah memaksa syarikat mencari alternatif pembungkusan mesra alam.
“Levi khas itu boleh disalurkan kepada dana pemuliharaan alam sekitar sekali gus membantu pihak berkuasa tempatan menampung kos pelupusan sisa plastik yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Che Abd. Rahim berkata, levi khas mampu menjadi mekanisme kawalan jangka panjang kerana sektor e-dagang dijangka terus berkembang pesat.
“Tanpa intervensi dasar, Malaysia berisiko menjadi pusat pencemaran plastik baharu di rantau ini. Levi khas adalah isyarat jelas bahawa negara serius menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata, selain mendidik pengguna, levi khas juga dilihat mampu mengubah strategi perniagaan syarikat e‑dagang.
Katanya, dengan adanya caj tambahan, syarikat terdorong untuk mencari pembungkusan alternatif yang lebih murah dalam jangka panjang seperti kotak kertas kitar semula atau bioplastik.
Sementara itu, pakar alam sekitar, Prof. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, caj 20 sen bagi penggunaan beg plastik semakin kehilangan ‘kuasa pencegahan’ dan tidak lagi efektif dalam mengurangkan sisa plastik.
Beliau berkata, caj 20 sen tersebut terlalu kecil dan kerap dianggap oleh masyarakat sebagai kos tambahan biasa yang sangat murah dan bukannya satu penalti atau kesedaran terhadap alam sekitar.
Beliau berkata, kajian berskala besar terhadap lebih 45,000 aktiviti pembersihan pesisir pantai membuktikan kawasan yang mengenakan caj atau larangan berjaya mencatatkan pengurangan sampah plastik sebanyak 25 hingga 47 peratus.
“Kajian di China mendapati bahawa peraturan caj pembungkusan berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik baharu sehingga 49 peratus.
“Pihak kerajaan perlu menaikkan kadar caj berkenaan secara berfasa kepada julat 50 sen hingga RM1 bagi setiap beg plastik sekali guna.
“Kadar baharu tersebut diyakini dapat memberi impak psikologi yang lebih berkesan untuk mempengaruhi keputusan dan tabiat harian pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, hasil kutipan daripada caj plastik itu tidak sepatutnya dibiarkan menjadi pendapatan umum atau keuntungan poket pemilik premis perniagaan.
“Wang kutipan berkenaan wajib disalurkan secara khusus untuk membina kemudahan pengasingan sisa, perangkap sampah di sungai, pusat pengumpulan semula serta program pendidikan alam sekitar kepada awam.
“Kerajaan perlu melarang secara berperingkat penggunaan plastik berisiko tinggi yang sukar dikitar semula seperti plastik oxo-degradasi, beg plastik terlalu nipis, pengisi polistirena (EPS) dan pembungkusan berlapis yang tidak diperlukan.
“Langkah ini juga perlu disokong dengan pelaksanaan dasar Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) supaya platform e-dagang dan syarikat kurier turut bertanggungjawab membiayai operasi pengumpulan sisa pembungkusan yang semakin membimbangkan,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, trend pembelian dalam talian yang semakin menjadi budaya masyarakat mencetuskan ancaman baharu alam sekitar, apabila jutaan plastik kurier dibuang setiap hari dan berpotensi menjadi ‘bom jangka’ ekologi negara.
Statistik Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan sebanyak 70.6 peratus rakyat menggunakan platform e-dagang bagi mendapatkan barangan pada 2023, meningkat berbanding 70.4 peratus pada 2022 dan 64.7 peratus pada 2021.
Situasi itu memberi kesan nyata terhadap jumlah sisa plastik apabila kebanyakan penghantaran menggunakan plastik kurier, balutan buih dan pita pelekat yang sukar dikitar semula. – UTUSAN










