RM8j dipindahkan daripada Fashion Valet kepada 30 Maple

RM8j dipindahkan daripada Fashion Valet kepada 30 Maple

VIVY Sofinas Yusof (kiri) bersama Fadzarudin Shah Anuar hadir ke perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna dana pelaburan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu bahawa wang berjumlah RM8 juta telah dipindahkan daripada akaun FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) kepada 30 Maple Sdn. Bhd. (30 Maple) dalam dua transaksi pada hari sama ketika Ogos 2018.

Menurut Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr. Ismail, Azizan Hassan, 45, sebanyak RM10,213,537.28 telah dikeluarkan daripada akaun 30 Maple kira-kira dua minggu selepas itu.

FashionValet merupakan platform e-dagang fesyen manakala 30 Maple juga sebuah syarikat e-dagang yang popular dengan tudung jenama Duck dengan kedua-dua syarikat diasaskan oleh Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan isterinya, Datin Vivy Sofinas Yusof.

“Pada 21 Ogos 2018 terdapat satu transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta dengan daripada Fashion Valet Sdn. Bhd. Saya juga sahkan baki (akaun 30 Maple) sebelum kemasukan wang adalah RM2,678,853.48.

“Pada tarikh sama, telah berlaku satu (lagi) transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta  daripada Fashion Valet Sdn. Bhd. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta adalah RM7,678,853.48.

“Pada 3 September 2018, telah berlaku satu transaksi pengeluaran wang sebanyak RM10,213,537.28. Saya juga sahkan baki (akaun 30 Maple) selepas pengeluaran wang berjumlah RM10,213,537.28 adalah RM75,087.59,” katanya saksi pendakwaan pertama itu sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.

Azizan berkata demikian dalam perbicaraan hari pertama kes Vivy dan Fadzarudin yang didakwa melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pasangan itu juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, saksi berkenaan mengesahkan penandatangan bagi 30 Maple ialah Vivy dan Fadzarudin selaku pengarah syarikat.

Katanya, pada 3 September 2018, terdapat satu lagi kemasukan wang sebanyak RM5 juta ke dalam akaun CIMB 30 Maple melalui transaksi dalam talian dan jumlah sama telah dikeluarkan pada keesokan harinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN