Perjuangan tuntut gaji anak kapal belum berakhir

Perjuangan tuntut gaji anak kapal belum berakhir

Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut, Datuk Dickson Dollah (tengah) bersama kru kapal MV Berkat Tuah yang berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas terkandas di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak September 2025 diTerminal 1, KLIA Sepang semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Walaupun sudah bebas dan tidak lagi ditindas, Kapten MV Berkat Tuah, Hendi Irawan, 45, menyifatkan ­perjuangan menuntut hak terutama ber­kaitan bayaran gaji tertunggak akan tetap diteruskan.

Dia yang terkandas bersama kru lain selama hampir setahun di Pelabuhan Hamriyah, Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Oktober tahun lalu terpaksa berdepan banyak cabaran, sebelum dapat diselamatkan wakil kerajaan Malaysia.

Malah katanya, perjuangan semua kru tidak akan berakhir dengan hanya kepulangan ke tanah air kerana masih terdapat isu tunggakan gaji perlu diselesaikan, termasuk membabitkan kru yang telah meninggalkan kapal lebih awal.

“Masalah ini perlu diselesaikan dengan kadar segera. Kami mahu menjalani kehidupan se­perti sedia kala dan tidak mahu lagi masalah bebanan hutang menindas kami.

“Paling penting, saya mahu mencari peluang untuk menyertai syarikat yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Dia yang berasal dari Indonesia antara lima kru yang terkandas di UAE sejak Oktober tahun lalu.

Selain Hendi, empat kru lain yang merupakan rakyat Malaysia ialah Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, Mark Martin, 39 dan Mohd Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Sabah.

Sementara itu, Hendi turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Laut, Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

Dalam pada itu, salah seorang kru, Mark berkata, walaupun dia sebelum ini terkandas dan hidup terkurung bagai di penjara, rasa menyesal tidak pernah wujud dalam dirinya untuk meneruskan kerjaya sebagai pelaut.

Dengan terpaksa berdepan pengalaman paling pahit dan dilayan seperti banduan oleh pihak pelabuhan, dia reda.

“Rasa menyesal tidak ada. Tetapi kalau mengenang kembali cabaran ‘sangkut’ di MV Berkat Tuah memang agak sedih kerana saya tidak pernah melalui situasi seperti ini sepanjang lebih 10 tahun bekerja dalam bidang ini.

“Bayangkan hutang kapal terlalu banyak sampaikan kalau mahu keluar dari kapal untuk jarak dekat sekalipun, akan ada pegawai keselamatan yang ikut.

“Malah di pelabuhan itu sendiri kawalan keselamatan berlapis-lapis. Namun, inilah dugaan dan memerlukan kesabaran tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN