Dasar beras lapuk punca industri padi lemah

Dasar beras lapuk punca industri padi lemah

MARZUKHI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dasar mengenai beras negara sudah lapuk dan jauh ketinggalan dengan kelemahan paling ketara apabila harga beras masih kekal RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi 10 kilogram yang tidak pernah disemak sejak 18 tahun lalu.

Ia sekali gus menjadi punca kepada pelbagai masalah yang membelenggu pengilang, petani dan pengguna ketika ini selain menyebabkan industri padi negara terus lemah.

Bagi pengilang, mereka berte­rusan menanggung kerugian besar apabila terpaksa membeli padi pada harga tinggi di sebalik beras terus kekal pada harga RM2.60 sekilogram yang dilihat sudah tidak relevan dengan situasi semasa di mana kos semuanya telah meningkat.

Untuk pesawah pula, jika harga siling tersebut masih kekal, harapan mereka untuk menikmati harga belian padi antara RM1,800 ke RM2,000 per tan metrik sukar direalisasikan.

Manakala kesan kepada pengguna, mereka akan terus sukar mendapatkan bekalan beras tempatan di pasaran.

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berharap kerajaan segera menyemak harga si­ling beras tempatan atau tetapkan pada satu gred sahaja yang bakal memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

Katanya, sebagai contoh, jika pengilang membeli padi dengan harga RM1,300 akan menyebabkan mereka terus mengalami kerugian kerana harga beras bagi berat RM26 itu sebenarnya ketika harga belian padi pada masa itu sekitar RM950.

Ujarnya, berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira semua kos, jika harga belian padi itu RM1,300, harga beras sepatutnya RM29 manakala jika harga belian padi pada kadar RM1,400, harga beras sepatutnya RM31.

“Untuk harga belian padi RM1,500, harga beras sepatutnya (RM32.60), belian padi, RM1,600 (harga beras, RM34), belian padi, RM1,700 (harga beras RM35.96), belian padi, RM1,800 (harga beras RM37.63) dan belian padi pada kadar RM2,000, harga beras sepatutnya RM41.

“Jika tidak dijual pada harga berkenaan, pengilang akan terus mengalami kerugian. Jika dahulu, tiga kilang saya mampu membeli antara 20,000 sehingga 30,000 tan metrik hasil padi pesawah, kini hanya mampu beli antara 2,000 tan metrik sahaja semusim.

“Jumlah itu pun, menyebabkan kami mengalami kerugian sebanyak RM500,000. Ketika ini, hanya satu kilang sahaja yang masih beroperasi manakala dua lagi sudah memberhentikan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Marzukhi berkata, dasar harga beras putih tempatan yang rendah juga mengurangkan produktiviti hasil pesawah yang sekitar 4.5 tan metrik sahaja per hektar.

Katanya, kos ladang terus me­ningkat dan jika harga belian padi tinggi ia mampu memberi kele­gaan kepada pesawah, namun untuk merealisasikan perkara itu, harga beras juga sepatutnya naik bagi mengimbangi dua pihak.

“Sudah tiba masa harga siling beras disemak bagi memperkasakan semula industri beras negara. Jika harga beras lebih ‘bermaruah’ kerajaan juga tidak perlu lagi menampung terlalu banyak subsidi.

“Kenaikan harga itu bakal memberi situasi menang-menang kepada semua pihak sama ada pengilang, pesawah dan pengguna. Pengilang bakal kembali ‘bernyawa’, pesawah akan mendapatkan harga belian padi yang tinggi dan pengguna tidak lagi ditipu,” katanya.

Antara lain katanya, kerajaan juga boleh menetapkan hanya satu gred beras putih Malaysia Madani iaitu tidak perlu ada lagi gred beras tempatan atau import.

“Kemudian tetapkan harga si­ling baharu bagi beras putih Malaysia Madani itu.

“Selain itu, kerajaan juga perlu hapuskan pelesen-pelesen padi iaitu batal atau tarik lesen kerana mereka ini didakwa terus menjadi alat kepada kartel yang mempu­nyai kilang beras. Peranan pelesen padi ini hanya menaikkan harga beras dan mencekik pengilang tanpa memanfaatkan petani,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×