PETALING JAYA: Aspek keanggotaan, perolehan aset moden, kawalan sempadan dan kebajikan merupakan keperluan mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh peranannya memerangi jenayah, perlu diberi penekanan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2026.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, jumlah anggota PDRM pada masa ini dilihat tidak seimbang dengan cabaran keselamatan semasa, khususnya dalam menghadapi jenayah siber dan penyeludupan rentas sempadan.
Beliau justeru mencadangkan penambahan anggota diberi penekanan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2026.
“Bagaimanapun ia mesti disertai dengan latihan khusus dan kepakaran dalam bidang tertentu. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada jumlah semata-mata sebaliknya pasukan perlu mempunyai keupayaan teknikal setanding dengan cabaran baharu.
“Selain aspek keanggotaan, kemudahan logistik dan peralatan moden juga perlu diberi tumpuan antaranya sistem komunikasi, pusat kawalan operasi serta makmal forensik digital misalnya yang memerlukan peruntukan lebih besar agar keberkesanan PDRM tidak ketinggalan berbanding agensi keselamatan di negara maju,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi isu sempadan pula, beliau berkata, penggunaan kamera berdefinisi tinggi, dron pengawasan, radar dan sistem pengesanan automatik perlu dipertingkatkan bagi mengawal kawasan berisiko tinggi yang sukar dipantau secara manual.
Katanya, kerajaan juga wajar menstruktur semula pos kawalan di kawasan ‘panas’ yang dilengkapi pengimbas kargo serta kenderaan berteknologi tinggi.
“Langkah ini akan membantu membanteras penyeludupan dadah, minyak dan barangan kawalan secara lebih berkesan. Namun, apa yang lebih penting adalah pendekatan bersepadu antara PDRM, Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Belanjawan 2026 sepatutnya menekankan koordinasi ini, bukan sekadar menambah aset untuk satu agensi sahaja,” katanya.
Razarudin berkata, pemilikan aset kenderaan untuk penugasan dan pengangkutan yang lebih selamat bagi menggantikan trak untuk membawa anggota dan pegawai khususnya Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke lokasi penugasan juga diperlukan.
“Hal ini penting bagi mengelakkan kemalangan seperti yang berlaku dalam nahas yang membawa 18 anggota FRU sehingga meragut nyawa sembilan daripada mereka pada 13 Mei lalu di Perak.
“Aset moden tidak boleh dibeli hanya untuk dipamerkan. Kos penyelenggaraan, alat ganti serta latihan operator mesti diperuntukkan agar ia benar-benar berfungsi dalam operasi harian. Dengan cara ini, keselamatan dan kedaulatan negara dapat dijamin,” katanya.
Selain itu, katanya, kerjaan perlu mengambil berat tentang aspek kebajikan seperti menyediakan kuarters yang mencukupi dan lebih kondusif bagi memudahkan anggota dan pegawai dalam melaksanakan tugas. – UTUSAN










