KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 41 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM16.35 juta kepada beberapa syarikat untuk menyebabkan kerugian terhadap syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, Erdasan Group Berhad.
Tertuduh, Choong Lee Aun, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan-pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim-Hakim Suhaila Haron, Azrul Darus dan Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Lee Aun yang ketika itu merupakan pengarah AT Systematization Berhad (kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad) telah menyebabkan sejumlah wang dipindahkan dalam beberapa transaksi berjumlah RM16.35 juta kepada Delta Million Dynamic Sdn. Bhd. dan Midas Mode Sdn. Bhd., dengan niat untuk menipu serta menyebabkan kerugian kepada majikannya.
Tindakan itu didakwa dilakukan dalam tempoh di antara 20 Jun 2020 dan 30 November 2021 di beberapa buah bank sekitar Kota Damansara, dekat sini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Shoba Venu Gobal, Hashley Tajudin, Izuddin Mohamad dan Puteri Maryam Sofia Megat Joha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nicholas Cheoh.
Ketika prosiding, Shoba memohon agar mahkamah mengenakan jaminan tertinggi berjumlah RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan alasan kesalahan dilakukan amat serius dan membabitkan jumlah kerugian besar.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Sekuriti (SC) di Kuala Lumpur pada setiap 1 haribulan setiap bulan.
Bagaimanapun, Nicholas merayu supaya jumlah jamin itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan warga emas yang mempunyai masalah jantung dan telah menjalani tiga kali pembedahan angioplasti.
“Anak guam saya merupakan seorang profesional dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat multinasional. Dia berniat untuk bersara sebelum ditawarkan bekerja di syarikat AT Systematization Berhad.
“Tertuduh masih menanggung ibunya yang uzur serta keluarganya termasuk dua anak yang sedang menuntut di universiti. Malah, anak guam saya pulang ke Malaysia dari Thailand secara sukarela untuk memberi kerjasama dalam siasatan sebelum ditahan oleh pihak SC,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin RM420,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 7 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










