Banting dilanda ribut, sebuah sekolah terjejas

Banting dilanda ribut, sebuah sekolah terjejas

ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang wanita yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Kampung Medan Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Beberapa kawasan di Banting, di sini dilanda ribut dan angin pusar sehingga mengakibatkan sebuah sekolah rendah di sini terjejas.

Tular beberapa gambar dan video di media sosial memaparkan berlakunya kejadian tersebut di sekitar pekan berkenaan termasuk rakaman terbentuknya angin pusar di sebuah kawasan di Banting.

Terdapat video lain yang memaparkan sebahagian bumbung sekolah terbabit roboh sehingga mencemaskan kakitangan sekolah.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan berlakunya runtuhan bangunan di pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, terdapat mangsa, iaitu seorang wanita berumur 51 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berkenaan.

“Pada pukul 5.05 petang, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan peha. Mangsa berada dalam keadaan sedar.

“Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan,” katanya hari ini.

Selain bangunan penyelaras DUN Sijangkang, sebuah surau KAFA yang terletak berdekatan pejabat DUN turut runtuh.

Dalam runtuhan surau itu kata Ahmad Mukhlis, dianggarkan sehingga sembilan orang pelajar KAFA yang menjadi mangsa namun semua dalam keadaan selamat.

“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan kini sedang dirawat oleh pegawai KKM yang berada di lokasi kejadian,” ujarnya.

Seramai tujuh anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Andalas yang terlibat dalam operasi berkenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN