KUALA LUMPUR: ASEAN memilih kerjasama berbanding pertembungan berhubung isu membabitkan pertikaian dan konflik serantau bagi mengelakkan pergolakan berterusan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak kemajuan telah dicapai sepanjang 2025 khususnya di bawah ketiga-tiga tonggak iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi dan Sosio-Budaya ASEAN.
“Saya berasa gembira melihat ASEAN terus menunjukkan ketahanan, ketegasan serta kreativiti dalam menghadapi pelbagai cabaran. Dalam saat-saat sukar, kita memilih kerjasama berbanding pertembungan dan pragmatisme berbanding kebuntuan.
“Mesyuarat ini memberi peluang kepada kita untuk menilai sejauh mana kemajuan yang telah dicapai dan sumbangan yang telah diberikan di bawah tonggak Politik-Keselamatan, Ekonomi serta Sosio-Budaya ASEAN,” katanya dalam Mesyuarat ke-37 Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Mohamad berkata, tumpuan kini perlu diberikan kepada pelaksanaan dasar dan program yang berkesan bagi memperkukuh pembentukan Komuniti ASEAN yang berteraskan rakyat, inklusif, mampan serta berdaya tahan.
Katanya, ASEAN turut meraikan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 blok itu yang disifatkan sebagai detik bersejarah hasil usaha kolektif berterusan selama bertahun-tahun.
“Misi peninjauan oleh Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) telah memainkan peranan penting dalam membentuk Peta Jalan Keanggotaan Timor-Leste secara menyeluruh.
“Sama pentingnya ialah ketekunan dan kemajuan berterusan Timor-Leste melalui penyertaan aktifnya dalam ketiga-tiga tonggak, pemeteraian instrumen perundangan ASEAN serta penyelarasan sistem nasionalnya dengan proses ASEAN,” katanya.
Menurutnya, ASEAN turut memperkukuh kerjasama melibatkan aspek kemampanan dan tenaga melalui pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN bagi menyokong peralihan tenaga serta komitmen terhadap masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan. – UTUSAN










