PETALING JAYA: Kerjasama sektor awam serta swasta perlu diperkukuh oleh setiap negara anggota ASEAN bagi memastikan kemajuan rantau ini tidak dicemari budaya rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, integriti, ketelusan dan akauntabiliti bukan sahaja tuntutan moral, tetapi asas kepada pembinaan masyarakat yang mampan dan inklusif.
Katanya, ketika ini rantau ASEAN berkembang pesat dari segi ekonomi, teknologi dan sosial namun, pertumbuhan itu mesti dipandu oleh nilai yang menjamin keadilan dan kesaksamaan.
“Kita mesti memastikan bahawa kemajuan tidak dicapai dengan mengorbankan integriti. Apabila rasuah menghakis kepercayaan, ia melemahkan tadbir urus, memecahbelahkan masyarakat dan menjejaskan semangat perpaduan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-21 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Menurut beliau, tema mesyuarat iaitu Memperkukuh Perpaduan ASEAN: Kerjasama Awam-Swasta dalam Memerangi Rasuah, mencerminkan integriti adalah tanggungjawab semua pihak membabitkan kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat.
“Hanya dengan bekerjasama, kita dapat mewujudkan sistem yang menghargai kejujuran, melindungi kepentingan awam dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” jelasnya.
Azalina berkata, ASEAN-PAC menjadi mekanisme penting yang mencerminkan komitmen ASEAN terhadap tadbir urus yang baik.
Kata beliau, ia menyediakan platform untuk dialog, pembelajaran bersama dan kerjasama rentas sempadan yang melengkapi usaha di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pembanterasan Rasuah (UNCAC) dan rangka kerja antarabangsa lain.
“Agenda reformasi kerajaan, khususnya di bawah portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi, terus meletakkan integriti sebagai teras tadbir urus negara.
“Kita memperkukuh rangka kerja perundangan, menggalakkan kebebasan institusi, dan melabur dalam program kesedaran yang memupuk kepimpinan beretika serta tanggungjawab sivik,”katanya.
Tambah Azalina, usaha ini tidak terhad dalam sempadan negara dan ia mencerminkan keyakinan kita bahawa perjuangan menentang rasuah mesti bersifat nasional dan juga serantau. – UTUSAN










